Friday, June 12, 2015

Tidak Boleh Mengatakan ‘saya’ Tetapi Mesti Menyebut ‘kita’,” -Erdogen.

Erdogan ketika menyampaikan ucapan di hadapan pelajar asing di Ankara, Turki semalam. - AGENSI

ISTANBUL – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan semasa ­me­nyampaikan ucapan pertamanya selepas pilihan raya semalam mendesak semua ahli politik mengetepikan ego masing-masing bagi membentuk sebuah kerajaan baharu.

Menurut Erdogan, berikutan kekalahan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang hilang majoriti di Parlimen pada pilihan raya Ahad lalu, pihaknya mempertimbangkan setiap alternatif termasuk mengadakan pilihan raya awal jika perbincangan antara parti gagal.

“Semua orang perlu meletakkan ego mereka di tepi dan membentuk kerajaan secepat mungkin.
“Ini merupakan tanggungjawab besar kita kepada 78 juta rakyat. Pada masa kini, tiada ahli politik boleh mengatakan ‘saya’ tetapi mesti menyebut ‘kita’,” katanya semasa menyampaikan ucapan kepada kumpulan pelajar asing pada satu majlis di Dewan Perniagaan Ankara semalam.

Terdahulu Perdana Menteri, Ahmet Davutoglu berkata, parti AKP akan membuat pilihan terbaik bagi membentuk sebuah kerajaan dalam masa terdekat.

“AKP akan mengetuai rundingan kerajaan campuran itu, namun jika ada pihak lain menghalang laluan, kami akan memikirkan setiap pilihan,” jelas Davutoglu.

Menurut Davutoglu, beliau telah bersedia untuk menemui ketiga-tiga parti pembangkang yang mendu­duki kerusi parlimen termasuk Parti Demokratik Rakyat (HDP).

“Saya akan bertemu setiap parti pembangkang. Kami tidak mempunyai sebarang garisan merah.
“Kami sentiasa berkata, satu kerajaan campuran bukannya pilihan terbaik, namun jika orang membuat pilihan, segala keputusan yang dibuat itu membuatkan kami mela­kukan yang terbaik,” katanya.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, AKP memenangi 258 daripada 550 kerusi Parlimen yang memberikan tamparan hebat kepada parti berteraskan Islam yang memerintah Turki sejak 13 tahun lalu. Ia diikuti Parti Republik Rakyat (CHP) 132 kerusi, manakala Parti Gerakan Nasionalis MHP dan HDP masing-masing memperoleh 80 kerusi. – Agensi

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails