Friday, June 12, 2015

AJK PAS Baru: Takiyuddin S/u, Nasrudin K/Penerangan, Datuk Che Abdullah Bendahari & ...

Ahli Parlimen Kota Baru Datuk Takiyuddin Hassan dijangka akan diumumkan sebagai setiausaha agung PAS yang baharu menggantikan Datuk Mustafa Ali, kata sumber. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Jun, 2015. 


Mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat pertama selepas muktamar yang menyaksikan golongan profesional disingkirkan daripada parti Islam itu memutuskan Ahli Parlimen Kota Baru Datuk Takiyuddin Hassan dilantik menjadi setiausaha agung baharu menggantikan Datuk Mustafa Ali, kata sumber.
Menurut pemimpin tertinggi PAS itu, Mustafa yang sebelum ini menjalankan tanggungjawab sebagai setiausaha agung parti Islam itu "diturunkan pangkat" menjadi pengarah pilihan raya bagi menggantikan Dr Mohd Hatta Ramli.
Bagaimanapun, sumber memberitahu, PAS terpaksa menangguhkan pengumuman lantikan baharu kerana bimbang pemimpin dilantik tidak mahu menerimanya.
"Usaha pujuk memujuk masih dilakukan kerana bimbang Mustafa tak mahu terima jawatan pengarah pilihan raya. Mustafa sebelum ini ada kata hanya akan menerima jawatan setiausaha agung.
"Sebab itulah Timbalan Presiden PASDatuk Tuan Ibrahim Tuan Man umumkan pada Rabu, parti hanya akan umumkan ahli jawatankuasa (AJK) lantikan baharu pada 21 Jun depan," kata sumber itu kepada The Malaysian Insider yang enggan nama disiarkan.
Seorang lagi pemimpin PAS memberitahu The Malaysian Insider, pelantikan Takiyuddin akan memudahkan perjalanan parti itu kerana Hadi selesa bekerja dengannya.
"Hadi memang dah lama suka kat Takiyuddin. Lepas ni lebih mudah untuk PAS bergerak," katanya.
Usaha The Malaysian Insider untuk menghubungi Takiyuddin dan Mustafa masih belum membuahkan hasil.
Tuan Ibrahim memberitahu pemberita pada Rabu PAS hanya akan mengumumkan pelantikan Ahli Jawatankuasa Pusat baharu serta biro parti pada 21 Jun depan.
Takiyuddin sebelum ini merupakan penolong setiausaha agung dan bekas ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) Kelantan.
The Malaysian Insider difahamkan mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat itu juga memutuskan untuk melantik bekas ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan sebagai ketua penerangan baharu bagi menggantikan Datuk Mahfuz Omar.
Selain itu, Exco Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi dilantik menjadi bendahari PAS bagi menggantikan Asmuni Awi.
PAS juga memutuskan untuk melantik Salahuddin Ayub, Mahfuz dan Siti Zailah Mohd Yusoff yang kalah dalam muktamar lepas sebagai AJK PAS Pusat.
Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena tidak mahu memberikan sebarang komen ketika dihubungi.
Salahuddin dalam kenyataan terbaru berkata beliau hanya selesa menjadi ahli biasa selepas tidak terpilih menjadi naib presiden baru-baru ini.
"Buat masa ini saya memilih untuk menjadi ahli biasa saja.
 "Biarlah kesempatan ini saya dedikasikan kepada ahli peringkat akar umbi yang mahukan saya lebih kerap dan rapat bersama mereka," kata bekas naib presiden PAS yang ditewaskan buat pertama kali itu kepada The Malaysian Insider, baru-baru ini.
Beliau merupakan naib presiden paling kanan sebelum ditewaskan secara 'block', bersama rakan yang lain, oleh kumpulan pro Hadi dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor Jumaat lepas.  – 12 Jun, 2015.

2 comments:

Anonymous said...

kenapa tak bagi semua kat haji hadie?
kan senang....

Anonymous said...

kenapa Ahmad Awang tak tanding semua jawatan?
Sangkut satu kan menang...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails