Tuesday, June 09, 2015

Mengejutkan! Parti Erdogan Gagal Raih Majoriti


PENYOKONG parti pemerintah, parti AKP meraikan keputusan pilihan raya di Istanbul, Turki lewat kelmarin. - AGENSI

ISTANBUL – Turki semalam memasuki fasa baharu pergolakan politik dan kewangan selepas parti pemerintah pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan hilang majoriti di Parlimen untuk kali pertama sejak 2002.
Parti Keadilan Dan Pembangunan (AKP) yang mendominasi politik Turki sejak 13 tahun lalu gagal memperoleh majoriti dalam pilihan raya umum kelmarin yang dikenali sebagai pilihan raya Parlimen.
AKP kini mempunyai pilihan untuk membentuk sebuah kerajaan campuran atau mengadakan pilihan raya lebih awal.
Keputusan yang merudum itu memusnahkan cita-cita Erdogan mengubah perlembagaan untuk menukar pentadbiran daripada sistem Parlimen kepada sistem Presiden.
Rombakan perlembagaan itu memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen. Beberapa bulan sebelum pilihan raya, Erdogan menyasarkan kemenangan 400 kerusi untuk AKP.
Dalam reaksi pertamanya mengenai keputusan pilihan raya, Erdogan mengakui AKP tidak mampu membentuk kerajaan secara bersendirian dan menggesa parti-parti politik lain supaya bertanggungjawab dalam proses pembentukan kerajaan baharu.
“Menurut keputusan pilihan raya, tiada satu parti layak membentuk kerajaan,” katanya.
AKP memenangi 41 peratus undi diikuti Parti Republik Rakyat (CHP) sebanyak 25 peratus, Parti Gerakan Nasionalis (MHP) dengan 16.5 peratus dan Parti Demokratik Rakyat (HDP) memenangi 13 peratus undi.
r
Peratus keluar mengundi pada pilihan raya kali ini pula ialah 86.5 peratus.
Perkembangan itu membayangkan sokongan kepada AKP telah merosot selepas parti itu memenangi hampir 50 peratus undi pada pilihan raya 2011.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi AKP memenangi 258 daripada 550 kerusi Parlimen diikuti CHP 132 kerusi, manakala MHP dan HDP masing-masing memperoleh 80 kerusi. – AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails