Tuesday, February 10, 2015

Penjelasan Hanipa Maidin: Presiden PAS Boleh Terima Kritikan..




 












Oleh Mohamed Hanipa Maidin 

Kononnya saya dipukul dalam mesyuarat Pas Pusat
Saya merasa terpanggil untuk membuat kenyataan selepas melihat dan membaca laporan Malaysian Insider yang melaporkan kononnya saya dipukul dalam mesyuarat Pas Pusat pada hari ahad lepas.

Saya ingin menyatakan di sini bahawa segala laporan yang wujud di alam cyber yang menjadi viral termasuk laporan Malaysian Insider tersebut adalah spekulasi semata mata yang saya tidak mempunyai sebarang tanggungjawab untuk mengesahkan laporan spekulatif tersebut.

Saya juga ingin jelaskan sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat adalah tidak wajar untuk saya mendedahkan apa yang berlaku dalam mesyuarat Pas Pusat kerana ia adalah urusan dalaman Pas yang saya dan Pas tidak bertanggungjawab untuk berkongsi dengan sesiapa.

Saya dan Pas juga dalam masa yang sama tidak boleh menghalang sebarang spekulasi dibuat oleh mana mana pihak selain menyatakan bahawa spekulasi tidak boleh menggantikan kebenaran.

Saya juga ingin jelaskan jika sekalipun ada laporan yang menyatakan saya menegur Presiden Pas dalam mesyuarat itu ia bukan suatu yang luar biasa kerana Pas tidak pernah melarang mana mana ahli jawatankuasa Pas Pusat menegur Presidennya sebagaimana Presiden juga mempunyai hak untuk menegur mana mana orang di bawahnya. Saya percaya "reciprocity" ini suatu yang sudah lama wujud dalam Pas .

Berdasarkan pengalaman saya dalam Pas Pusat saya dapati Presiden Pas masih boleh menerima kritikan sepedas sekalipun ke atas dirinya dan saya tidak nampak sikap beliau itu sudah berubah. Jika ada mana mana pihak dalam Pas yang merasakan kritikan kepada mana mana pemimpin setinggi mana sekali pun pangkatnya apatah lagi kritikan yang dibuat di dalam mesyuarat adalah tidak dibenarkan saya percaya ini bukan dari ajaran Islam dan menyimpang daripada konvension yang Pas amalkan selama ini.

Jika Presiden Pas boleh menerima kritikan maka adalah tidak masuk akal Presiden Pas akan merestui dan membiarkan amalan memukul ajk Pusat jika kita mengandaikan sekalipun spekulasi yang saya nyatakan di atas adalah betul.

Mengenai dakwaan kononnya saya dipukul oleh Pesuruhjaya Pas Perak , Hj Razman Zakaria saya tidak tahu dari mana datangnya sumber berita itu . Hj Razman adalah kawan baik saya jadi mana mungkin dia akan tergamak untuk memukul saya .Maka saya menganggap dakwaan beliau memukul saya adalah hanya spekulasi semata mata.

Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Pakatan Rakyat kerana disebalik keributan yang berlaku sebelum ini akhirnya mesyuarat majlis tertinggi PR dapat juga diadakan dan mencapai satu keputusan yang melegakan banyak pihak dan meyenakkan musuh Pakatan iaitu Barisan Nasional.

Percayalah hanya BN dan mereka yang cenderung kepada BN sahaja yang mahukan PR berpecah kerana mereka tahu perpaduan PR adalah ancaman besar dan bahaya kepada BN. Saya yakin tidak ada pemimpin PR yang naif dan tidak sedar hal tersebut.
Sekian, terima kasih

Yang benar
MOHAMED HANIPA MAIDIN
AJK PAS PUSAT
AHLI PARLIMEN SEPANG

Lihat sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails