Monday, February 09, 2015

Anwar Antara Penjara Dan Bebas, Tunggu Esok..



"PAS kena tambah lif, satu tak cukup…lambat sangat. Nanti kita nak datang mesyuarat di sini lagi.
"Mesyuarat akan datang saya harap PAS dah ada lif baharu,” seloroh Anwar.

Penantian 7 tahun bagi Mohd Saiful Bukhari Azlan juga berhubung dakwaan diliwat bekas ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berakhir esok. Keputusan Mahkamah Persekutuan itu dilihat lebih memberi kesan kepada Anwar selaku figura politik pembangkang khususnya mengenai masa depan gabungan pakatan pembangkang

Persoalannya, masihkah ada ruang untuk Anwar menghadiri meysuarat Pakatan Rakyat yang seterusnya selepas 10 Februari ini seperti disebutnya di atas?

Bagi Ketua Pembangkang itu sendiri, tarikh 10 Februari sekali lagi bakal menjadi tarikh keramat baginya iaitu sama ada beliau akan meringkuk di dalam penjara atau kekal bertakhta di ‘istana Segambut’ miliknya. Andai kata Anwar terpaksa meringkuk di penjara, keputusan itu tentunya secara langsung akan mengubah iklim politik di Malaysia lebih-lebih lagi mengenai hala tuju PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri.

Namun bagi Anwar, berdasarkan lenggok bahasa badan, ekspresi muka serta ‘mood’ yang ditunjukkan ketika berhadapan puluhan wakil media pada Ahad, beliau kelihatan tenang.


Tanpa berkerut dahi, Anwar sempat bergurau dengan pihak media yang terpaksa menunggu lama kehadiran pimpinan pakatan pembangkang untuk menyertai sidang media di lobi Pejabat Agung PAS.

Sebelum ini Anwar pernah menyuarakan keyakinan bahawa beliau akan dibebaskan berdasarkan kepada perincian fakta dan undang-undang kukuh yang telah dibentangkan di Mahkamah Persekutuan.

"Saya yakin akan dibebaskan berdasarkan perincian fakta dan undang-undang kukuh yang telah dibentangkan di hadapan panel Mahkamah Persekutuan.
"Fitnah tidak wajar dijadikan alat dalam tinju politik dan diberi ruang untuk memporak-perandakan negara. Saya panjatkan doa pada Allah Yang Maha Esa agar keadilan dapat ditegakkan dan saya dibebaskan," katanya.

Sejak dibebaskan pada 2004 iaitu selepas menjalani hukuman penjara hampir enam tahun kerana didapati bersalah terhadap empat pertuduhan rasuah, Anwar berperanan sebagai ejen penyatu di antara parti pembangkang. Justeru tidak mustahil pakatan yang dibentuk tanpa ikatan yang sah itu bakal berhadapan krisis besar khususnya membabitkan calon pengganti Anwar untuk mengetuai Pakatan Rakyat.

Hingga ke saat ini, pakatan pembangkang masih belum menamakan calon pengganti Anwar sekiranya nasib tidak berpihak kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh itu. Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sebelum ini pernah dilaporkan berkata bahawa pakatan pembangkang akan terus kekal sebagai entiti politik pembangkang yang kuat walaupun tanpa Anwar.

Menurutnya, jalinan ‘tahaluf siyasi’ atau kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat bukan dibentuk atas dasar individu khususnya Anwar.

Anwar, 67, membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati dia bersalah atas tuduhan meliwat dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun. Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lepas, membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan itu.

Jika Anwar kalah dalam rayuannya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu boleh hilang kelayakan sebagai seorang ahli parlimen sebagaimana Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seseorang anggota parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika beliau dijatuhkan hukuman penjara lebih daripada setahun atau didenda lebih daripada RM2,000.

Antara dipenjara dan bebas, sama-sama kita tunggu esok. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails