Monday, February 09, 2015

Bukti: Geng Hawaii Five O Mahu Singkir A/Hadi dan Ulama... -Agendadaily.

Bukan rahsia lagi wujud kumpulan dalam jawatankuasa PAS Pusat dikenali sebagai Anwarinas – yang dikatakan penyokong tegar kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka dipercayai separuh dalam kepimpinan PAS Pusat dan kerap mengeluarkan kenyataan yang dilihat bertentangan dengan pemimpin golongan ulama serta lebih menyokong PKR dan DAP.

Al-kisahnya dikatakan ada gerakan menyingkirkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang daripada kerusi Presiden pada muktamar PAS akan datang "dengan cara terhormat" apabila cuba menawarkan jawatan Mursyidul Am kepadanya.

Tidak tahan lagi dengan komplot itu, Ahad, Pemuda PAS Kuantan mendedahkan komplot terancang sekumpulan pemimpin kanan parti itu untuk menjatuhkan Presiden PAS itu dan golongan ulama.
Mereka mengadakan demo aman di depan ibupejabat PAS semasa mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS dan yang kemudian diikuti oleh mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan.

Ketuanya, Fadhli Ibrahim mendakwa, komplot tersebut dipercayai menguasai lebih separuh daripada Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sehingga berupaya mensabotaj keputusan parti dan menjadikan Hadi seperti boneka.

“Kami mendesak mereka yang terlibat dengan komplot jahat ini supaya meletakkan semua jawatan dalam parti,” katanya dalam sidang akhbar di situ.

Kumpulan seramai kira-kira 80 orang itu membawa plakad ‘Hatta Ramli Wajib Letak Jawatan’ – dipercayai merujuk kepada mereka yang berkomplot bagi tujuan menjatuhkan Hadi. Dr Hatta adalah Pengerusi Pilihanraya PAS Pusat serta ahli parlimen Kuala Krai.

Lampiran Bukti

Beliau yang dihubungi kemudian enggan mengulas dakwaan berkenaan. Fadhli turut memberi lampiran bukti berkenaan di dalam bentuk Akuan Berkanun beserta cetakan paparan skrin telefon daripada WhatsApp, perbincangan antara anggota kumpulan.

Dalam lampiran akuan berkanun itu menyatakan ada individu yang mempunyai akses kepada Kumpulan WhatApp yang bernama ‘LAWAN AMNO Media Baru PGS’ yang kemudiannya ditukar ‘Hawaii Five-O’.

Kenyataan akuan berkanun itu menyatakan kumpulan WhatsApp itu dipercayai dianggotai Hatta Ramli yang menggunakan nombor 019 339 8659.

Turut sama menganggotai kumpulan Whatsapp tersebut adalah Aiman Athirah Aljundi, AJK Dewan Muslimat PAS Pusat, seperti yang dinyatakan dalam akuan berkanun yang sama.

Dalam kenyataan akuan berkanun itu juga menyatakan Aiman memburukkan Presiden PAS dan kepimpinan Ulama dengan bertindak sebagai perancang di belakang Hatta dalam kumpulan WhatsApp itu.Oleh NUR ASLINDA NASIR - 8/2/2015 (agendadaily)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails