Tuesday, June 17, 2014

Sri Lanka: Serangan Terancang Terhadap Islam Dg Restu K'jaan?

REUTERS DUA kanak-kanak Muslim berdiri berdekatan rumah mereka yang hangus dibakar selepas keganasan agama antara penganut Buddha dan Islam di Aluthgama, Sri Lanka semalam. 

ALUTHGAMA, Sri Lanka - Sekurang-kurangnya tiga orang Islam maut, manakala 75 lagi cedera dalam insiden keganasan agama antara penganut Buddha dan penduduk Islam di dua bandar peranginan tepi pantai di selatan Sri Lanka, kata beberapa pegawai dan penduduk semalam.
Keganasan terhadap orang Islam di Sri Lanka meningkat sejak 2012 seperti yang berlaku di Myanmar apabila etnik minoriti Islam Rohingya diserang dan dibunuh oleh penduduk beragama Buddha. Beberapa pertempuran tercetus di bandar Aluthgama dan Beruwela, selatan Sri Lanka kelmarin ketika penganut Buddha berarak dalam satu protes yang diketuai oleh kumpulan agama tersebut, Bodu Balan Sena (BBS).

"Saya tidak faham bagaimana sebuah kerajaan yang sebelum ini menghalang kesatuan sekerja atau pelajar daripada mengadakan tunjuk perasaan boleh membenarkan BBS berhimpun dan berarak," kata Menteri Kehakiman, Rauf Hakeem.

Beliau yang juga merupakan pemimpin parti Islam terbesar di Sri Lanka, Kongres Islam memberitahu, penduduk Islam di kawasan itu telah berulang kali meminta pihak berkuasa melindungi keselamatan mereka. Ramai penganalisis bebas menyatakan, beberapa siri keganasan terhadap orang Islam dan penganut Kristian merupakan serangan terancang yang mendapat restu kerajaan. Namun, kerajaan Sri Lanka menafikan terbabit dalam konflik agama tersebut.

Sebelum ini, Gerila Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) menyerang beberapa buah perkampungan Islam di timur laut Sri Lanka semasa perang saudara antara 1983 hingga 2009.
Lebih 140 orang dibunuh dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai penduduk Islam pada tahun 1990 yang didakwa dilakukan oleh LTTE.

Sebuah pasukan agensi berita Reuters di Aluthgama dan Beruwela menyaksikan sendiri kehadiran begitu ramai anggota polis, manakala penduduk Islam dilihat duduk di jalan di hadapan rumah mereka yang hangus dibakar.

"Perintah berkurung di bandar ini dikuatkuasakan untuk orang Islam dan bukan perusuh Buddha," kata seorang pesara guru berusia 65 tahun, Fathima Fazniya.
"Mereka datang dengan menaiki beberapa buah lori dan menyamun rumah kami. Mereka kemudian membakarnya. Mereka mempunyai perancangan rapi," tambahnya. - Reuters

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails