Monday, June 16, 2014

Jadikan Melayu Pengembara Sebarkan Islam Se Dunia -Tan Sri Muhammad Muhd Taib


TANAH MERAH: Bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berazam hendak menjadikan bangsa Melayu lebih maju sehingga mampu menjadi pengembara yang boleh menyebarkan Islam  ke seluruh dunia.

“Kita hendak menjadikan bangsa Melayu lebih maju sehingga mampu menjadi pengembara yang boleh menyebarkan Islam  ke seluruh dunia,” katanya pada ceramah di Kedai Gual Ipoh malam tadi.

Menurutnya, rakyat usah mengharapkan Umno bagi membina manusia mengikut acuan ditetapkan agama kerana parti itu tidak berminat berbuat demikian. Umno hanya berminat membina jalan raya, jambatan dan membuat bangunan yang lebih bersifat fizikal semata-mata. Katanya lagi, beliau tidak yakin Umno mampu membina manusia sejajar dengan apa yang dikehendaki agama.

“Umno lebih berminat menyogok rakyat dengan hiburan. Sambut tahun baru dengan hiburan, sambut raya pun hiburan dan segala-galanya dengan hiburan.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Wan Yusoff Wan Mustapha, Penyelia Dun Gual Ipoh, Mohd Razali Yusof dan wakil PKR Tanah Merah.

Muhammad yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat dalam misi jelajah penerangan di Kelantan. Malam semalam beliau berceramah di Gua Musang dan malam ini di Jeli. Menurutnya juga Kelantan lebih dikenali berbanding negeri-negeri lain kerana ada identiti tersendiri mempunyai pemimpin yang bersih, jujur dan amanah.

“Sebab itulah saya tengok ada negeri-negeri lain yang turut mencontohi apa yang dilaksanakan di Kelantan,” kata beliau.

Katanya beliau mengenali Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1990 semasa sama-sama menjadi ketua kerajaan negeri. Menurutnya beliau menjadi Menteri Besar Selangor sejak 1986 sudah beberapa kali bertemu dengan Tok Guru, seorang pemimpin yang mempunyai integriti tinggi.

Mohd Amar pula menjelaskan hubungan lebih erat kerajaan negeri dengan pusat bagi memastikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II yang diluluskan di Kelantan pada 1993 dapat dilaksanakan.

“Kita bincang antara kerajaan dengan kerajaan untuk pastikan perundangan hudud dapat dilaksanakan. Kalau Umno jujur mahu menyokong enakmen tersebut dilulus di parlimen nanti, sampailah hasrat kita.
“Sebaliknya kalau mereka khianat, parti itu akan dilabel rakyat sebagai tidak amanah,” ujarnya. (IH/HD)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails