Tuesday, June 17, 2014

Kesatuan & Persatuan Pekerja TNB Gesa Tolak YTL



KUALA LUMPUR: Rasa tidak puas hati pelbagai pihak terhadap tindakan kerajaan BN memberi pelbagai kemudahan kepada syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) sehingga mengakibatkan rakyat terpaksa menanggung beban kenaikan tarif elektrik kini turut dirasakan Kesatuan Persatuan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sehubungan itu mesyuarat tergempar Jawatankuasa Bersama Kesatuan dan Persatuan TNB yang merangkumi Persatuan Eksekutif TNB, Kesatuan Pekerja-Pekerja Pecantuman TNB dan  Tenaga Nasional Berhad Junior Officers Union yang telah diadakan pada 13 Jun lalu sepakat membantah tawaran usahasama secara runding terus (direct nego) membabitkan syarikat IPP, YTL  untuk projek penjanaan tenaga ‘Track 4’ Pasir Gudang, Johor.

Bagi menyatakan bantahan mereka, satu sidang media oleh Pegawai-Pegawai Kesatuan dan Persatuan TNB diadakan pagi ini di Pejabat Tenaga Nasional Berhad Junior Officers Union (TNBJOU) di No 166B, Jalan Faraday, Off Jalan Bangsar, dekat sini.

Kumpulan lebih 200 pegawai kesatuan dan persatuan TNB itu kemudian berarak menuju ke Bangunan Ibu Pejabat TNB, Bangsar, dekat sini bagi menyerahkan memorandum bantahan "Tolak YTL" kepada Pengurusan TNB di Lobi Bangunan Ibu Pejabat TNB.

Memorandum bantahan Kesatuan Sekerja TNB terhadap YTL dibuat berdasarkan pengalaman pahit hasil Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) antara TNB dengan YTL sebagai IPP bermula dari tahun 1993.

Ekoran perjanjian berat sebelah itu, TNB terpaksa menanggung beban kewangan yang tinggi untuk membayar khidmat IPP termasuk YTL.

Oleh kerana perjanjian pertama PPA di antara TNB dan YTL akan tamat pada September 2015, syarikat berkenaan kini mewujudkan konsortium baru bagi menyambung kontrak dan mensasarkan perlaksanaan projek baru di atas tanah TNB di Stesen Janaelektrik Pasir Gudang.

Malah Suruhanjaya Tenaga pada 27 Mei lalu telah menawarkan projek penjanaan tenaga berskala besar 'Track 4' bagi menjana antara 1400MW hingga 2000MW kepada konsortium membabitkan YTL, SIPP dan TNB.

Ahli-ahli kesatuan dan persatuan pekerja TNB berarak ke ibu pejabat TNB di Jalan Bangsar Kuala Lumpur bagi menyampaikan memorandum bantahan.

Tawaran projek 'Track 4A' ini dikhuatiri akan menjadi rujukan (set precedence) untuk menyambung kontrak syarikat IPP di masa-masa akan datang.

Malah tanah TNB akan dirampas melalui konsortium yang ditubuhkan sedangkan TNB bukanlah pemegang ekuiti saham majoriti dalam konsortium itu.

TNB juga dikhuatiri akan menghadapi masalah kewangan yang serius di masa hadapan seperti yang pernah dilalui dengan YTL apabila terpaksa membayar kos yang tinggi kepada syarikat IPP tersebut bagi setiap unit penjanaan elektrik.

Beban kos ini terpaksa pula ditanggung oleh rakyat apabila tarif lektrik dinaikkan.

"Pelbagai implikasi lain yang melibatkan jaminan pekerjaan kepada kami (job security) akibat daripada rentetan dari projek ini yang diserahkan kepada YTL secara runding terus," memorandum itu dipetik.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita di luar ibu pejabat TNB Kuala Lumpur, Presiden Kesatuan Pegawai Rendah TNB (TNBJOU), Mohd Roszeli Majid menuntut agar YTL tidak diberikan apa-apa projek janakuasa tenaga atau elektrik di negara ini.

“Kami ada pengalaman buruk dengan mereka. Sekali tersengat, selalu beringat," katanya tegas.
- HARAKAHDAILY, 16/6/2014

1 comment:

Anonymous said...

Buat apa nak piket depan bangunan TNB. Kalau betul2 nak tunjuk marah , pergi saja kerumah atau pejabat al kutty yang bertanggung jawab memberi konsensi tu kapada YTL. Barulah betul. Tapi saya tak pasti mereka2 ni berani kerana ramai melyu sudah menganggap al kutty macam Tuhan. Anak al kutty jadi tawkay arak pun ok.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails