Tuesday, June 17, 2014

K/Negara Islam Tawan Bandar Tal Afar. Rakyat M'sia Di Arah Tangkap..

AFP GAMBAR yang dimuat naik di laman web kumpulan jihad, Welayat Salahuddin pada 14 Jun lalu menunjukkan konvoi ISIL melalui sebatang jalan di wilayah Salaheddin, Iraq.


ISIL tawan bandar strategik Tal Afar
BAGHDAD - Militan Sunnah menawan bandar strategik Tal Afar yang terletak berhampiran sebuah lebuh raya menuju ke Syria semalam. Kemenangan oleh militan Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syam (ISIL) itu berlaku ketika militia Syiah yang disokong Iran dan ribuan sukarelawan menyertai pasukan keselamatan untuk memerangi ISIL.

Bandar Tal Afar yang didiami etnik Turkomen merupakan lokasi strategik untuk ISIL kerana terletak sekitar 150 kilometer dari sempadan Syria. Puak Turkomen mengamalkan kedua-dua ajaran Sunnah dan Syiah. Selain Iraq, ISIL turut terlibat dalam perang saudara di Syria dengan kumpulan tersebut menguasai wilayah berhampiran sempadan Iraq.

Ketika ISIL meneruskan kemaraan untuk menawan bandar raya ini, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry memberitahu semalam bahawa pentadbiran Presiden Barack Obama bersetuju untuk berunding dengan Iran berhubung situasi yang kian meruncing di Iraq.

"AS juga tidak menolak untuk mengadakan kerjasama ketenteraan dengan Iran bagi mengekang kemaraan ISIL," katanya.

Kerry juga berkata dalam satu wawancara bersama Yahoo! News bahawa AS mungkin akan melancarkan serangan udara di Iraq. Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Bandar Tal Afar, Abdulah Abdoul memberitahu agensi berita The Associated Press (AP) bahawa bandar yang didiami 200,000 orang itu ditawan menjelang subuh hampir seminggu selepas ISIL menguasai bandar kedua terbesar di Iraq, Mosul.

ISIL merupakan kumpulan serpihan Al-Qaeda. Terdahulu, ISIL memuat naik beberapa gambar yang menunjukkan pejuang-pejuangnya menembak mati sejumlah askar Iraq yang menjadi tawanan mereka. Bandar Tal Afar juga terletak dekat wilayah pentadbiran autonomi Kurdish. Pertempuran di Tal Afar bermula kelmarin dengan pejuang-pejuang Sunnah membedil peluru roket yang dirampas di beberapa depot tentera di Mosul.

"Penduduk bandar ini kini dihantui ketakutan manakala kebanyakan mereka telah meninggalkan Tal Afar dan menuju ke kawasan yang dikawal pasukan keselamatan Kurdish," kata seorang penduduk Tal Afar Hadeer al-Abadi dalam satu wawancara telefon dengan AP.

Sementara itu, Arab Saudi menolak sebarang campur tangan asing di Iraq dan menyalahkan dasar pengasingan dan berpusatkan mazhab sebagai punca pejuang-pejuang Sunnah melancarkan serangan terhadap kerajaan Baghdad yang dikuasai puak Syiah. - Agensi

Komen Weblog Ibnu Hasyim:Maka terbongkarlah rahsia, mengapa rakyat Malaysia yang menyertai pasukan militan di Syria akan dikenakan tindakan undang-undang jika pulang ke negara ini, seperti kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
  
"Maklumat diperolehi dan jika mereka menjejakkan kaki di Malaysia, pasti tangkapan akan dilakukan dan tindakan undang-undang dijalankan," kata Menteri Dalam Negeri itu selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Amerika Syarikat di Malaysia, Joseph Y.Yun di sini semalam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails