Saturday, June 21, 2014

Khalid Tidak Risau Desas Desus Ditolak PAS S'gor


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau tidak risau dengan desas-desus penolakan PAS Selangor terhadap kepimpinannya. Menurutnya, beliau maklum tugas sebagai menteri besar Selangor adalah "mencabar dan penuh tanggungjawab"  dan ia tidak seselamat seperti tugasnya sewaktu berada dalam sektor korporat.

"Jaminan kerjaya saya ini - setahu saya dalam arena politik ini tidak dapat dipastikan seperti sewaktu saya berada dalam sektor korporat.
"Saya menganggapnya sebagai satu cabaran dan satu tanggungjawab.
"Saya tidak risau tentangnya," kata Khalid dalam satu sidang media di Shah Alam, tengah hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas laporan yang mendakwa PAS  Selangor menolak kepimpinannya apabila mengambil kira cara beliau menangani beberapa isu mutakhir ini. Laporan itu memetik kenyataan seorang pemimpin PAS negeri bukan wakil rakyat yang dilaporkan mendakwa PAS Selangor kini mahu Khalid diganti - selepas DAP dan PKR dikatakan menyuarakan hasrat sama sejak sekian lama.

Pemimpin yang disebut itu bagaimanapun menafikan laporan tersebut dan sebaliknya mendakwa, kenyataan itu dibuat menerusi perbualan peribadi dengan wartawan yang menulis laporan itu. Tanpa menafi atau mengiyakan desas-desus itu, Khalid menjelaskan bahawa beliau menganggap sikap sesetengah pihak yang kurang gembira dengan caranya mengendalikan beberapa perkara mutakhir ini sebagai perkara lumrah dalam melaksanakan tugasnya.

"Tak gembira ini agak biasa kerana saya berurusan dengan isu yang agak sensitif.
"Bukan tujuan saya untuk mendapat keselesaan atau kesukaan semua pihak tetapi saya hanya hendak melakukannya supaya apa-apa yang saya lakukan itu tertib, teratur dan mengikut lunas-lunas undang-undang," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Masjid Shah Alam selepas menyampaikan sumbangan moreh kerajaan negeri kepada masjid dan surau sekitar Selangor. Setiap masjid menerima sumbangan sebanyak RM1,650 dan surau pula menerima sumbangan sebanyak RM1,250.(MK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails