FONTAINEBLEAU, Perancis - Sepucuk surat yang ditulis dalam bahasa Inggeris oleh Maharaja Perancis, Napoleon Bornaparte dilelong pada harga AS$405,000 (RM1.29 juta) kelmarin.
Ditulis pada kertas bersaiz standard bersama cop diraja, surat tersebut merupakan latihan kerja rumah yang dihantar oleh Napoleon kepada seorang guru bahasa Inggeris pada tahun 1816. Menurut penganjur lelongan tersebut, latihan berkenaan adalah antara tiga pucuk surat berbahasa Inggeris yang pernah ditulis oleh Napoleon.
Surat tersebut dibeli oleh Muzium Surat dan Manuskrip di Paris yang memenangi 'perang' bidaan lelongan tersebut dekat sini, selatan Paris. Harga lelongan tersebut lima kali ganda lebih tinggi daripada anggaran awal. Dokumen itu merupakan bukti kukuh bahawa Napoleon pernah mempelajari bahasa tersebut walaupun pada usia yang lewat.
Menurut firma lelongan Osenat, Napoleon menulis surat itu semasa menjadi tahanan di Pulau Saint Helena selepas kalah dalam perang Waterloo.
"Beliau sebenarnya menyanjung England. Orang Inggeris telah salah faham. Napoleon tidak membenci mereka. Beliau cuma seorang pemimpin tentera dan kepentingan Perancis berbeza dengan kepentingan Inggeris," kata Presiden Osenat, Jean-Pierre Osenat.
Napoleon mati ketika hidup dalam buangan di pulau tersebut pada 5 Mei 1821 semasa berusia 52 tahun. - AGENSI
Lihat sebelum ini..
(IH)
No comments:
Post a Comment