Monday, June 11, 2012

Tiada Maruah Persenda L/Raya -B/SU Gerakan K'tan


 
KOTA BHARU: Pihak yang tidak ada maruah sahaja mempersendakan usaha kerajaan negeri membina lebuh raya rakyat Kota Bharu-Kuala Krai bagi menyelesaikan masalah lalu lintas.

Bekas Setiasuaha Gerakan Kelantan, Lau Chin Chua (gambar) berkata, siapa sebenarnya yang menipu rakyat bagi membina kemudahan asas bagi manfaat orang ramai di Kelantan.

“Sedangkan semua orang tahu projek lebuh raya itu pernah dijanjikan mahu dibina sejak 1986 oleh pemimpin Umno, namun sampai sekarang tidak menjadi kenyataan.

“Jadi siapa sebenarnya yang tipu rakyat. Tengok jambatan Sultan Yahya Petra kedua sampai sekarang belum siap selepas masuk tahun kelima.

“Saya difahamkan sudah berapa kali bertukar kontraktor yang membina jambatan itu. Sedangkan di China jambatan yang merentangi laut dapat disiapkan dalam tempoh tiga tahun,” katanya pada ceramah di Lembah Sireh malam tadi.

Ceramah terbabit diadakan sempena program Cakna Rakyat Dun Bunut Payong. Hadir sama Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Adun Bunut Payong, Datuk Takiyuddin Hassan.

Pelbagai acara diadakan pada sebelah pagi sehingga petang. Biar pun hujan sebelah petang namun ia tidak menghalang orang ramai datang mengikuti ceramah.

Rabu lalu sekumpulan pemuda yang didalangi Umno mengadakan perhimpunan di hadapan Kota Darulnaim dengan membawa peralatan binaan yang buruk, seperti mempersendakan kerajaan negeri membina lebuh raya rakyat.

Lau yang juga bekas guru besar berkata, lebuh raya berkenaan diyakini dapat disiapkan mengikut jadual memandangkan bahan mentah seperti pasir dan batu banyak terdapat di lokasi lebuh raya yang akan dibina.

Beliau juga yakin pemimpin Umno Kelantan menjadi penghalang kepada  Kelantan mendapat hak ke atas royalti petroleum.

“Saya yakin Perdana Menteri tidak ada masalah untuk membayar royalti tersebut, namun masalahnya ada pemimpin Umno di Kelantan sendiri yang menghalangnya,” ujar beliau.

Salahuddin pula memberitahu dua menteri kabinet yang berasal dari Kelantan tidak memainkan peranan untuk memastikan negeri ini mendapat hak ke atas royalti.

“Mereka tahu kalau Kelantan mendapat royalti, Umno buat selama-lamanya tidak bermimpi untuk menawan Kelantan,” ujarnya. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails