Tuesday, June 12, 2012

Tiada P/raya Musim Haji Perlu Jaminan PM -PAS


KL: PAS menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan tidak akan membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya umum ke-13 pada musim haji tahun ini.

Ia bagi memastikan jemaah haji yang terpilih dapat menunaikan ibadah haji dengan lebih tenang dan selesa, tanpa dipinggirkan hak mereka untuk mengundi.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Perdana Menteri sepatutnya boleh mengumumkan tarikh pilihan raya dan tidak perlu berteka-teki kepada rakyat.

"Kita mahukan jaminan Perdana Menteri agar pilihan raya tidak diadakan pada musim haji tahun ini. Sebaik-baiknya kerajaan elak untuk adakan pada tarikh tersebut," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan arahan penangguhan untuk menunaikan haji yang dikeluarkan sebelum ini khusus kepada ahli-ahli PAS yang terlibat secara langsung dengan jentera parti, bukannya kepada semua ahli.

Katanya, arahan itu lebih tertumpu kepada calon-calon, wakil calon, pengarah pilihan raya dan mereka yang terlibat secara langsung dengan jentera parti.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menegaskan bahawa menjatuhkan kerajaan yang penuh rasuah dan zalim juga merupakan satu kewajipan kepada umat Islam.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, turut menyokong desakan Tuan Ibrahim agar kerajaan memberi jaminan agar pilihan raya tidak diadakan pada musim haji.

"Terpulang kepada Najib untuk menetapkan bila tarikh pilihan raya.  Tapi kita mohon jaminan daripada beliau supaya ia tidak diadakan pada musim haji.  Selesai masalah," komen ringkas beliau, hari ini.

Ini, tegasnya bagi membolehkan para pengundi yang beragama Islam menunaikan hak mereka di dalam sistem demokrasi.(IH/Hrkh))

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails