Monday, June 11, 2012

K'tan Benarkan Semula Wanita Sertai Tilawah


 
KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan akan memberi laluan semula kepada qari wanita (qariah) untuk menyertai tilawah membaca Al- Quran bermula tahun depan.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz (gambar) berkata, ketika ia disekat 22 tahun lalu, ia hanya disekat sementara bukannya diharamkan.

Langkah ini, katanya diambil memandangkan banyak hasrat disampaikan melalui pertemuan dan surat agar membenarkan ianya diadakan semula "akhirnya ikatan sekatan itu dibuka semula bermula tahun hadapan."

Beliau berkata, kebenaran ini diberikan berdasarkan pendekatan serupa yang diambil Rasulullah dalam isu menziarahi kubur.

"Ketika itu, ada yang menangis, jilat kubur, cium dan lain-lain lagi," katanya.

Begitu juga di Kelantan, peringkat awal dahulu masyarakat tidak begitu berpegang pada syariat khususnya dalam menjaga aurat, berpakaian menjolok mata hingga tidak ada perbezaan lelaki dan wanita. Sedangkan Allah jadikan ianya berbeza antara lelaki dan wanita, katanya.

"Kini banyak dah tutup aurat, amalan hidup juga berbeza banding dulu," katanya.

Beliau berkata kepada media selepas majlis makan tengahari bersama MB untuk meraikan johan tilawah Al-quran peringkat kebangsaan Anuar Ghazali. Anuar yang mewakili Kelantan menjadi johan dalam tilawah itu dengan mendapat pencapaian tertinggi iaitu 93.6 peratus dan juga johan paling muda, 36 tahun.

Beliau bakal mewakili negara ke peringkat antarabangsa. Ketika ditanya, tidakkah ia bakal menjadi isu, Nik Aziz menjawab, Kelantan sudah sentiasa menjadi isu dan tidak putus-putus.

"Lagipun dulu hanya kita sekat bukan haram terus," katanya.(Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails