Sebahagian penduduk Taman Medan ketika perhimpunan aman mendesak tol NPE PJS 2 dimansuhkan, di sini
Sebahagian penduduk Taman Medan ketika perhimpunan aman mendesak tol NPE PJS 2 dimansuhkan, di sini semalam.
 
PETALING JAYA – Penduduk Taman Medan membuat bantahan secara aman mendesak Kerajaan Pusat memansuhkan tol Lebuhraya Pantai Baru (NPE) Petaling Jaya Selatan 2, semalam.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian berkata, tol berkenaan membebankan penduduk Taman Medan yang menjadikan jalan ini sebagai jalan utama.

“Pengguna yang mahu mengelak daripada membayar tol ini akan melalui kawasan perumahan Taman Medan sebagai jalan alternatif mereka, perkara ini meletakkan penduduk di sini dalam bahaya.

“Kenderaan berat yang melalui kawasan tersebut membahayakan penduduk di sini terutamanya anak kecil yang selalu bermain di kawasan persekitaran rumah.

“Selain itu, kenderaan keluar masuk menyebabkan jalan tersebut menjadi sesak seterusnya mengganggu kerja harian penduduk,” katanya.

Menurutnya, perhimpunan ini memberi mesej kepada Barisan Nasional supaya menghapuskan tol ini sepenuhnya dan bukan hanya mengurangkannya.

“Kalau kerajaan betul-betul utamakan rakyat, mengapa hanya tutup satu tol sahaja?.

“Kerajaan Pusat perlu memikirkan sensitiviti penduduk, tol di sini tidak sepatutnya dibina kerana ini adalah kawasan perumahan," katanya.

Hadir sama pada himpunan tersebut adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri dan Ahli Majlis MBPJ, Maharul Ismail, Azman Yusuf dan Ahmad Akhir. (SH)