Monday, June 11, 2012

UiTM Sukar Terima Bumiputera S'wak, Mengapa?


Oleh Jofri Jaraiee

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) merupakan sebuah universiti kerjasama pendidikan awam dengan kampus utama yang terletak di Shah Alam, Selangor, Malaysia.

Ia adalah institusi utama Sistem Universiti Teknologi MARA, universiti terbesar di Malaysia dari segi saiz dan enrolmen pelajar  dan satu-satunya universiti awam yang menjalankan pengambilan dua kali setahun.

Kemasukan universiti adalah terbuka kepada Bumiputera dan pelajar antarabangsa sahaja, kecuali bagi program-program persediaan yang dijalankan di Pusat Pendidikan Antarabangsa (INTEC), Malaysia di mana bukan Bumiputera diterima. Dasar ini dilindungi menurut kuasa Perkara 153 Perlembagaan Malaysia.

Kita ada menerima aduan daripada ibubapa pelajar bumiputera Sarawak yang mengatakan sukar bagi anak mereka untuk masuk ke universiti tersebut disebabkan status bangsa anak mereka terutama sekali ibu mereka bukan bumiputera sedangkan bapa mereka adalah bumiputera asal Sarawak,
Kalau mengikut keturunan selalunya ikut daripada keturunan seorang bapa bukannya ibu.

Apakah taraf status sebenar “Bumiputera” yang dibenarkan oleh UiTM dalam pengambilan pelajar bumiputera dari Sarawak?

Adakah kedua ibubapa pelajar mesti bumiputera sepenuhnya? Bagaimana pula sekiranya bapa pelajar bumiputera berkahwin dengan ibu yang bukan bumiputera maka adakah anaknya tidak diiktiraf sebagai bumiputera?

Inilah persoalan yang sering timbul kepada pelajar bumiputera Sarawak yang ingin melanjutkan pelajaran ke UITM dimana masalah akan timbul apabila bapa pelajar bumiputera berkahwin campur dengan orang bukan bumiputera.

Ibu bapa pelajar dari Sarawak khususnya amat kesal dengan sikap pengurusan UiTM dalam urusan pengambilan pelajar baru dari Sarawak disebabkan status ibubapa mereka.

Kita mendesak agar pihak kementerian pelajaran dapat menjelaskan dengan segera taraf status Bumiputera yang sebenarnya agar tidak menyusahkan pelajar bumiputera Sarawak dari terus terpinggir dari pelajaran. Kebanyakan perkara ini berlaku kepada pelajar bumiputera Sarawak yang kedua ibubapanya berkahwin campur.

Jangan pinggirkan atau diskriminasi pelajar bumiputera dari Sarawak untuk sama-sama maju ke hadapan bersama pelajar dari Semenanjung kerana Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia.
Berlaku adillah kepada semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik demi masa depan pelajar tersebut nanti.

Penulis ialah Yang Dipertua PAS kawasan Miri. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails