Friday, June 15, 2012

Takziah, Kepergian 'Bapa Tarbiah PAS', Ust Yahya.

 
KL Weblog Ibnu Hasyim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Datuk Ustaz Yahya Othman (gambar) di atas kematian Ustaz Yahya. Kematian bekas anggota jawatankuasa Majlis Syura Ulamak PAS, petang tadi.

Beliau meninggal dunia di rumahnya di Banggol Judah, Labok akibat sakit tua. Beberapa tahun lalu Allayarham diserang angin ahmar menyebabkan pergerakannya terbatas.

"Innalillahi wainna ilaihi rajiun!" kata editornya Hj Mohd Hashim.

Al-hamdulillah, biar pun dalam keadaan keuzuran bagaimanapun beliau berjaya menyiapkan sebuah pusat latihan yang terletak di hadapan rumahnya, kini menjadi tumpuan banyak pihak. Allahyarham yang lebih dikenali sebagai 'bapa tarbiyah PAS' merupakan bekas anggota Exco kerajaan negeri ketika PAS menang pada 1990. Beliau menang di Dun Banggol Judah. Berita kematiannya juga memenuhi ruang facebook di kalangan penyokong PAS.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat merakamkan ucapan takziah kepada keluarganya. Tuan Guru Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pun dilaporkan ada menziarahi Allahyarham pada bulan lepas ketika menghadiri satu program anjuran PAS Machang di Madu.
Beliau pergi dikala jamaah amat memerlukan khidmat beliau. Ustaz Yahya Othman merupakan kawan dan guru yang berjasa besar di dalam memperkasakan tarbiah ahli-ahli PAS dan mendambakan diri sejak sekian lama kepada tugas-tugas tersebut.

Menyorot latar belakang beliau, ketika dalam parti, Allahyarham merupakan bekas ahli Majlis Syura Ulama’ (pernah jadi setiausahanya yang pertama) selain pernah menjadi AJK PAS Pusat dan AJK Dewan Ulama’ PAS Pusat.

Beliau juga pernah menjawat jawatan YDP PAS Machang selama tempoh lebih kurang 20 tahun.

Di dalam kerjayanya pula, beliau pernah menjadi pensyarah dan Timbalan Pengetua Nilam Puri Kelantan sebelum bertanding dalam pilihanraya tahun 1978.

Pada pilihan raya 1990 beliau menang bertanding dan diamanahkan menjawat jawatan EXCO DUN Negeri Kelantan. Beliau juga seorang pendidik yang gigih dan merupakan Pengasas Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Putra (Kias), pengasas Maahad Dakwah wa Imamah, pengasas dan pengarah Institut al-Nur dan lain-lain lagi.

Beliau banyak menghasilkan kertas-kertas kerja dalam sektor tarbiyah Islamiyyah. Antara karyanya yang popular dan sentiasa dijadikan rujukan oleh sekalian ahli-ahli PAS yang beristiqamah dalam aktiviti-aktiviti parti ialah; Amal Jamai (Pengertian dan Tuntutannya) dan juga Himpunan Kertas Kerja Tarbiyah.
PAS sebelum ini menobatkan beliau sebagai Murabbi PAS sepanjang zaman.

Difahamkan solat jenazah akan diadakan di kediaman beliau jam 9 pagi ini. (IH).

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails