Tuesday, May 03, 2011

Tiada Tanding Presiden PAS, Mohd Sabu Cabar Timbalan..

Nasharuedin Mat Isa (kiri) dan Mohd Sabu (kanan)..
KL, 3 Mei 11: Setakat ini masih belum ada maklumat tentang pertandingan Presiden PAS dalam muktamar Jun ini. Walaupun ada desas-desus meramalkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang akan ditentang oleh Datuk Husam Musa, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan. Beliau disebut-sebut telah dicalonkan oleh PAS Bukit Bintang di Wilayah Persekutuan bertanding Presiden. Mungkinkah beliau tidak jadi bertanding?

Sedangkan Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa mengesahkan, beliau akan mempertahankan jawatannya. Nasharudin berkata keputusan itu dibuat setelah mendapat pencalonan menggalakkan daripada PAS kawasan setakat ini.

“Insya-Allah saya akan pertahankan kerusi timbalan presiden kerana PAS kawasan mencalonkan saya untuk kerusi berkenaan.

“Tambahan pula mereka telah mencalonkan saya, lagipun kita mengamalkan demokrasi dalam parti, malah perlembagaan parti menyebut seseorang itu layak untuk dicalonkan dan mencalonkan seseorang itu bertanding,” katanya yang menyandang jawatan itu sejak dua penggal lalu.

Dipetik Harakah edisi terbaru, Ahli Parlimen Bachok ini menambah beliau mahu mempertahankan jawatan itu bagi meneruskan agenda persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Sementara itu, Penyokong Mohamad Sabu dilaporkan mendakwa bekas naib presiden PAS itu setakat kelmarin mendapat 60 pencalonan kawasan untuk bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti itu Jun ini. Manakala penyandangnya Nasharuddin Mat Isa yang juga ahli parlimen Bachok pula setakat ini memperolehi 33 pencalonan. Menurut sumber, keputusan itu diperolehi dari maklumat yang diterima dari kawasan-kawasan yang telah mengadakan mesyuarat bagi memilih calon berkenaan.

Sumber turut memberitahu tiga lagi pemimpin PAS turut mendapat pencalonan untuk bertanding jawatan nombor dua itu. Mereka adalah naib presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang meraih 13 pencalonan dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang mendapat tiga pencalonan. Seorang lagi naib presiden Salahuddin Ayub - yang juga ahli parlimen Kubang Kerian - memperolehi satu pencalonan.

PAS mempunyai 179 kawasan di seluruh negara. Setakat ini, hanya Mohamad dan Nasharuddin menawarkan diri untuk bersaing merebut jawatan timbalan presiden. Pada pemilihan 2009, kedua-dua tokoh itu bertembung dalam persaingan tiga penjuru yang menyaksikan Nasharuddin terus mempertahankan jawatan tersebut dengan mendapat 480 undi. Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa mendapat 281 undi, manakala Mohamad sekadar meraih 261 undi.

Ibu pejabat parti menetapkan pemilihan dan muktamar PAS akan berlangsung pada selama tiga hari bermula 3 Jun ini di Markaz Tarbiyyah PAS di Taman Melewar, Gombak. Sebelum itu, muktamar bagi sayap-sayap parti - Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulama - turut akan mengadakan pemilihan bagi memilih pucuk pimpinan mereka masing-masing dua hari sebelum itu. (IH)

Sebelum ini, pemilihan pimpinan PAS..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails