Thursday, April 21, 2011

Husam Tanding Presiden PAS

KL 21 Apr 11: Datuk Husam Musa dicalonkan bertanding jawatan presiden PAS melawan Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau adalah ahli jawatankuasa kerja PAS pusat dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan. Beliau dicalonkan oleh PAS Bukit Bintang di Wilayah Persekutuan.

Abdul Hadi Awang, yang sebelum ini disifatkan sebagai liabiliti kepada parti itu berkata, beliau sedia ditentang pada pemilihan pusat Jun ini.

“Jika ada pencalonan diterima pemimpin lain untuk menentang (saya), saya sendiri amat mengalu-alukannya kerana saya bukan mahu menjadi pemimpin selamanya.

“Saya sendiri sudah berumur dan memerlukan barisan pelapis,” kata beliau dipetik media.

Kata Abdul Hadi, PAS juga mengalu-alukan pertandingan sebarang jawatan untuk membuktikan keterbukaan parti dalam soal pemilihan pemimpin selain memantapkan kepimpinan parti.

“Pertandingan digalakkan bukan sahaja bagi jawatan parti peringkat cawangan dan kawasan, tetapi meliputi kesemua jawatan termasuk peringkat tertinggi melibatkan jawatan presiden, timbalan dan naib,” kata beliau dipetik Sinar Harian hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata pemimpin, ahli dan penyokong perlu sambut baik jika ada pencalonan daripada pemimpin PAS untuk jawatan tertentu daripada latar belakang dan pendidikan yang berbeza.

Susulan komen penganalisis politik Prof Abdul Aziz Bari, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam mempertahankan Abdul Hadi dengan berkata, PAS tidak perlu mengubah pemimpin hanya kerana kekalahan dalam pilihan raya termasuk ekoran kegagalan memperoleh kerusi di Sarawak minggu lalu.

Semalam Prof Abdul Aziz Bari juga menasihatkan Dewan Pemuda PAS supaya tidak “mengamuk dan naik minyak” ekoran pandangannya bahawa Presiden mereka Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini dilihat sebagai liabiliti kepada parti komponen Pakatan Rakyat itu. Justeru tegas penganalisis politik ini, Dewan Pemuda PAS khususnya kepimpinan Wilayah Persekutuan seharusnya memastikan kemenangan pemimpin yang mereka fikir baik. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails