Wednesday, March 10, 2010

Rasmi Buku Natrah: UMNO, PAS, Shahrizat & Penjajah...

Muhyiddin Yassin bersama Fatini Yaacob (dua dari kanan) dan Dr. Zaini Ujang (kiri) melihat buku Natrah pada majlis pelancaran buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 9 Mac – Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa supaya persefahaman dan perpaduan politik yang ditunjukkan parti-parti yang mewakili umat Islam dalam memperjuangkan isu Natrah pada 1950 dijadikan contoh pada masa sekarang ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perpaduan politik seperti itu adalah amat penting bagi mempertahankan kebenaran dan kesucian Islam daripada dipandang rendah oleh mana-mana pihak.

‘‘Dalam hal persefahaman politik, kisah Natrah membuktikan bahawa umat Islam daripada latar ideologi politik yang berbeza mampu untuk bersatu dalam mempertahankan kesucian Islam.

‘‘Tokoh-tokoh seperti Karim Ghani, Dr. Burhanuddin al-Helmy, Tun Sardon Jubir, Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tun Hussein Onn telah mengetepikan perbezaan ideologi politik masing-masing demi membela kesucian Islam yang dipandang rendah oleh penjajah.

‘‘Perpaduan ini terakam dalam lipatan sejarah sebagai perpaduan yang amat bermakna kerana tiga parti politik yang berbeza ideologi dan pendekatan ketika itu iaitu UMNO, Hizbul Muslimin dan PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) boleh bersatu demi mempertahankan kesucian Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran buku bertajuk Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata yang ditulis oleh Karyawan Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Datin Seri Fatini Yaacob.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah; Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang; Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad.

Buku setebal 474 muka surat berharga RM99 itu mengisahkan Huberdina Maria Hertogh atau nama Islamnya Natrah yang menjadi isu di Singapura pada 1950 akibat perebutan antara ibu angkatnya, Che Aminah dengan keluarga asal beliau yang berketurunan Belanda.

Dia pada ketika itu berumur 13 tahun serta telah memeluk Islam dan bernikah gantung dengan seorang guru berusia 22 tahun bernama Mansor Adabi.

Pasangan itu bagaimanapun dipisahkan oleh undang-undang British yang tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun daripada berkahwin sehingga mengakibatkan berlaku rusuhan.

Menurut Muhyiddin, kisah Natrah itu juga telah memberikan kesedaran kepada orang Melayu untuk bangkit sebagai bangsa yang bermaruah.

‘‘Seperti kata Datin Seri Fatini dalam buku ini, Natrah secara peribadi sebenarnya tidaklah penting.

‘‘Yang penting adalah kesedaran orang Melayu dalam mempertahankan kesucian Islam dan kebangkitan orang Melayu sebagai bangsa yang bermaruah. Itulah yang amat penting sekali,’’ katanya.

Dalam pada itu, katanya, isu Natrah juga telah memberikan pengajaran kepada umat Islam bahawa perlu diteruskan usaha-usaha bagi memastikan wujud keharmonian antara undang-undang Islam dan sivil di negara ini.

‘‘Ini sebagai penerus kepada usaha peguam bela Natrah, Allahyarham Profesor Tan Sri Ahmad Ibrahim yang telah mencadangkan supaya dimasukkan Perkara 121(1A) dalam Perlembagaan Persekutuan bagi mengangkat status dan bidang kuasa mahkamah syariah agar setara dengan mahkamah sivil,” katanya.

Tambah Muhyiddin, kisah Natrah juga memberi pengajaran kepada semua pihak mengenai pentingnya usaha memupuk persefahaman antara masyarakat yang berbeza anutan agama.

‘‘Saya percaya bahawa proses perundangan bukanlah cara terakhir untuk menyelesaikan konflik antara agama.

‘‘Tentunya ada kaedah-kaedah alternatif yang sesuai untuk menangani isu yang amat sensitif ini seperti perbincangan, perundingan dan dialog antara pemimpin-pemimpin agama,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan akan memberi perhatian yang serius terhadap cadangan supaya buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata dijadikan sebagai teks rujukan utama dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu.

‘‘Saya percaya ini boleh dijadikan bahan rujukan di peringkat sekolah menengah tinggi,” katanya. (Diangkat dari UtusanMalaysia Online)

Komen Blog Ibnu Hasyim:

Pertama: Turut hadir dalam majlis pelancaran buku oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin itu ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah; Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang; dan Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa serta Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad. Ertinya PAS dan UMNO kini boleh 'mengetepikan perbezaan ideologi politik masing-masing demi membela kesucian Islam yang dipandang rendah oleh penjajah.'

Mengenepi, bukan menubuh Kerajaan Perpaduan, seperti tidak tertubuhnya kerajaan perpaduan antara tokoh-tokoh seperti yang disebutkan, iaitu Karim Ghani, Dr. Burhanuddin al-Helmy, Tun Sardon Jubir, Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tun Hussein Onn, sebelum ini.. Walaupun telah disebutkan 'Perpaduan ini terakam dalam lipatan sejarah sebagai perpaduan yang amat bermakna kerana tiga parti politik yang berbeza ideologi dan pendekatan ketika itu iaitu UMNO, Hizbul Muslimin dan PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) boleh bersatu demi mempertahankan kesucian Islam.'

Kedua: Mungkin kisah Natrah ini bertentangan dengan kehendak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini yang meminta pihak bertanggungjawab dalam soal nikah kahwin di Kelantan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas perkahwinan melibatkan kanak-kanak perempuan bawah umur.

Menterinya, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kejadian itu menyalahi Enakmen Keluarga Islam Kelantan, di mana had umur minimum perkahwinan adalah 16 tahun bagi kaum wanita kecuali dengan kebenaran mahkamah syariah, seperti yang dilaprkan BERNAMA hari ini. Sedangkan dalam kisah Natrah diatas, dia masuk Islam dan berkahwin (nikah gantung) semasa berumur 13 tahun. Dan undang-undang British tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun berkahwin.

Apakah Shahrizat masih mahu bertindak macam penjajah ke atas rakyat Kelantan yang sudah selesa dengan pentadbiran kerajaannya?

Lihat seterusnya, Nartrah dari sudut yang agak berlainan...

2 comments:

Anonymous said...

Jangan sampai menerima UMNO yg telah menderhaka kepada perjuangannya sendiri semata pentingkan perut.

Bila rasa rakyat tak menyokongnya lagi kerana masalah rasuah, penyelewengan dsbnya, cepat-cepat UMNO menghulurkan tangan kepada PAS...

Biarkan BN/UMNO jatuh terhina dalam PRU 13 nanti...dan bersama2 kita bina negara diatas runtuhan BN/UMNO.

Kita pun hebat dan boleh memimpin...krn kita mempunyai kelulusan yg sama dgn orang politik BN/UMNO.

Cuma 1 kelemahan kita iaitu tak pandai menipu rakyat...

Mat Adabi said...

Ibnu Hasyim,

Apa Nasaruddin Mat Isa dan Idris Ahmad buat diacara pelancaran buku Natrah tu? Agaknya nak cium tangan Muhyiddin Yasin kot.
Ah,dasar Geng Perpaduang.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails