Wednesday, March 10, 2010

Wanted US10 Juta Pengebom Bali Mati Ditembak Di Aceh.


Gambar yang disiarkan stesen televisyen Metro TV semalam menunjukkan lelaki dipercayai Dulmatin yang mati di sebuah kafe Internet di Aceh.

JAKARTA - Tiga orang suspek pengganas terbunuh dalam satu serbuan di sebuah kafe Internet di Aceh semalam dengan salah seorang daripadanya dikatakan perancang serangan bom di Bali pada tahun 2002.

Bagaimanapun, polis masih cuba untuk mengesahkan identitinya menerusi ujian asid deoxyribonucleic (DNA). Suspek perancang yang juga seorang pakar elektronik itu ialah Dulmatin. Dia sebelum ini didakwa melarikan diri ke Filipina dan Amerika Syarikat (AS).

Wang ganjaran penangkapannya ialah AS$10 juta (RM34 juta). Pengeboman berani mati di Bali menyasarkan kelab-kelab malam yang popular di kalangan pelancong asing itu telah membunuh 202 orang dan merupakan serangan paling buruk di Indonesia.

Serbuan tersebut adalah sebahagian daripada usaha polis menjejaki kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI) yang mempunyai hubungan dengan al-Qaeda dan baru-baru ini menubuhkan kem latihan ketenteraannya di Aceh. Jelas jurucakap polis, Edward Aritonang, suspek terbunuh selepas dia melepaskan tembakan dengan menggunakan sepucuk revolver ke arah polis.

Gabenor Aceh, Irwandi Yusuf menyifatkan kewujudan pengganas yang baru di wilayahnya sebagai rangkaian hubungan Dulmatin. Irwandi bagaimanapun tidak memberi sebarang komen sama ada Dulmatin sudah mati atau sebaliknya. Sebelum ini, polis pernah tersilap menyatakan Dulmatin telah mati.

Ketua militan dari Malayaia, Nordin Mohammad Top yang juga dikaitkan dengan pengeboman di Bali pernah dilaporkan terbunuh dalam 'pertempuran' dengan polis di Jawa, sebulan sebelum dia mati dalam satu serbuan pada bulan September. Stesen televisyen Indonesia, MetroTV menyiarkan gambar seorang lelaki di atas sebuah kerusi dengan tangannya memegang sepucuk revolver. Wajahnya dikaitkan sebagai Dulmatin. - AP

1 comment:

Anonymous said...

Permulaannya, mesti pastikan perjuangan kita halal..lepas itu berjuanglah.

Lebih baik mati syahid...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails