Friday, March 12, 2010

Royalti Minyak : M'sia Malayan Union -UMNO Gua Musang


KUALA LUMPUR, 11 Mac — Tengku Razaleigh Hamzah, yang kini menjadi tumpuan isu royalti minyak, menyamakan Malaysia yang ditadbir Barisan Nasional (BN) sekarang mirip Malayan Union — sistem pentadbiran yang digerakkan British tetapi mendapat tentangan hebat lebih enam dekad yang lalu.

Sehubungan itu, kata putera Kelantan ini, kajian semula tata urusan antara kerajaan persekutuan dan negeri amat diperlukan untuk mengembalikan “hak berperlembagaan” negeri yang dilucutkan sejak kebelakangan ini.

“Putrajaya bertindak seperti kita sebuah negara kesatuan dan bukannya persekutuan,” kata Ahli Parlimen Gua Musang ini, wakil rakyat paling lama berkhidmat, pada forum umum mengetengahkan hubungan antara persekutuan dan negeri anjuran Majlis Peguam di sini hari ini.

“Secara ironis, dari segi amalan kita menjadi Malayan Union yang mana generasi terdahulu membantah dan menewaskannya,” kata Tengku Razaleigh sambil menambah, kerajaan persekutuan merampas kuasa-kuasa negeri dan mengawal ketat sumber-sumber negeri, malah haknya untuk menentukan bagaimana agama boleh diamalkan.

“Ini tidak berperlembagaan dan mesti ditahan dengan segera sebagaimana Malayan Union ditentang dengan penuh bertenaga.

“Dalam jangka panjang Malaysia tidak boleh berdaya maju sebagai sebuah negara kesatuan,” kata Ketua Umno Bahagian Gua Musang ini kepada hadirin dalam lingkungan 50 hingga 70 orang termasuk duta-duta, antara dari Kanada dan Belgium.

Beliau menekankan bahawa kesimbangan kuasa antara persekutuan dan negeri adalah mengecewakan dan kini memihak kepada kerajaan pusat, serta “tertumpu dalam tangan perdana menteri”.

Sehubungan itu kata beliau, kajian untuk mengembalikan keseimbangan sangat diperlukan.

Tambah Tengku Razaleigh, perkara itu boleh dilakukan sama ada menerusi undi di dewan undangan negeri ataupun menerusi Majlis Raja-raja Melayu.

Beliau yang bertanggungjawab dalam soal menubuhkan Petronas mengkritik kerajaan persekutuan pimpinan BN yang terus menafikan hak bagi Kelantan untuk mendapatkan bayaran “royalti” minyak.

Selain penafian itu dihebohkan menerusi akhbar-akhbar, kata beliau, ia diulangi oleh pegawai-pegawai kerajaan yang sewajarnya dilihat dengan serius.

Ini kerana menurut beliau, “kuasa kerajaan persekutuan terhadap sumber-sumber ini, sebagaimana dalam semua perkara lain, adalah satu kuasa yang diturunkan daripada kedaulatan asal setiap negeri.” Menurut The Malaysian Insider.

Sementara itu, pada hari yang sama, BERNAMA melaporkan, Kelantan tidak layak dalam tuntutan royalti minyak di luar perairan negeri itu kerana Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 masih berkuatkuasa, kata seorang pengamal undang-undang. Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata peruntukan No. 7 Ordinan itu menetapkan sempadan negeri iaitu bumi negeri berkenaan serta perairan wilayah negeri itu sejauh tiga batu nautika yang diukur dari paras air surut. Namun dua telaga minyak dipertikai Kelantan terletak di luar “kawasan” itu.

Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Rahman Yakub yang menyokong pendirian Kerajaan Pusat bahawa Kerajaan Negeri tidak berhak menuntut royalti minyak kecuali ia dapat membuktikan perairan wilayah negeri itu melebihi tiga batu nautika.(AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails