Friday, March 12, 2010

Mengapa Masih Ada Sendiket Gores & Menang?

PENGGUNA

TAHAN...ahli sindiket yang ditahan, semalam.

Ahli sendikit yang ditahan semalam.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, patah dua jari tangan kanan manakala pekerjanya menerima beberapa jahitan pada bahagian belakang selepas dibelasah sekumpulan 20 lelaki ketika mereka cuba berunding dengan ahli sindiket gores dan menang.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam kelmarin di sebuah bangunan rumah kedai di Metro Prima, Kepong di sini, Nadzim dan pekerjanya mendakwa dibelasah lebih 15 minit oleh kumpulan terbabit yang bersenjatakan pedang samurai, pisau, besi dan cota. Difahamkan, Nadzim dan pekerjanya itu pergi ke premis terbabit bersama seorang warga emas berusia 60-an yang mahu menuntut wang RM6,000 bagi menebus barang kemas mangsa yang digadaikan ahli sindiket itu.

Menurut Nadzim, dia dan pekerjanya pergi ke premis terbabit untuk berunding selain mendapatkan semula wang mangsa.

“Saya ke sana bersama mangsa dan dua orang anaknya serta pembantu, namun setibanya di premis itu seorang lelaki berusia 30-an enggan mengaku mengenai kegiatan gores dan menang yang didalanginya lalu mengarah kami pulang.

“Kami cuba berlembut dengannya dan suspek mengarahkan kami masuk ke sebuah bilik untuk berunding. Ketika itu suspek memberi amaran dan mengugut mencederakan kami sekiranya tidak meninggalkan premis terbabit dengan segera,” katanya ketika ditemui, semalam.

Memandangkan Nadzim bertegas meminta wang itu dipulangkan, suspek menghamburkan kata-kata kesat menghalaunya hingga berlaku pertikaman lidah menyebabkan dia ditumbuk.

“Pada masa sama, suspek menjerit memanggil rakannya dipercayai tonto dan datang menyerang kami bersenjatakan pedang samurai, pisau, besi dan cota.

“Kami yang dibelasah hanya mampu mempertahankan diri dan berserah kepada nasib kerana pintu premis terbabit dikunci menyebabkan kami gagal melarikan diri,” katanya.

Nadzim berkata, dia dan pekerjanya, Afif, 20, dibelasah hampir 15 minit menyebabkan dua jari tangan kanannya patah manakala pekerjanya cedera pada bahagian belakang akibat ditoreh dengan pisau. “Mangsa sempat menghubungi polis. Menyedari ketibaan polis, beberapa ahli sindiket itu melarikan diri membawa senjata yang digunakan,” katanya.

Pihak berkuasa tiba kira-kira lima minit kemudian memberkas 10 lelaki termasuk dalang sindiket itu. Nadzim dan pekerjanya diarahkan membuat laporan di Balai Polis Sentul di sini, untuk membantu siasatan sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), mendapatkan rawatan susulan.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Lagi-lagi kes gores dan menang. Tak habis-habis, masih ada. Kerajaan perlu tangani sungguh-sungguh sebelum ianya merebak lebih besar. Rakyat taraniaya dan tergores, siapa sebenarnya yang menang?

2 comments:

Anonymous said...

Persoalannya kenapa masih ramai yang jahil dan terlalu dungu mempercayai segala macam bentuk tipu helah untuk cepat kaya.
Kenapa yang paling ramai dari orang Melayu Islam?
Apakah sumbangan UMNO selama lebih 50 tahun? kenapa UMNO sendiri tidak pernah bersungguh sungguh menangani isu ini?

EdAlia said...

Ye kerajaan memang patut sungguh-sungguh tangani masalah ini. Tapi kepada yang terkena tu kenapa menyertai jugak walaupun dah banyak kes? Ataupun ini masalah orang nak jadi kaya cepat agaknya. Saya kira ini masalah pada diri sendiri jugak.. hanya memberikan pendapat.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails