Thursday, March 11, 2010

PKR Tegas Pertahan Semangat PR, Khalid Sindir PAS?










KUALA LUMPUR, 11 Mac — Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Samad (gambar) terharu dengan ketegasan PKR memecat rakannya Zulkifli Noordin Sabtu lalu walaupun sanggup kehilangan satu lagi kerusi di Parlimen.

Keputusan memecat Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu mengakibatkan PKR kehilangan empat wakilnya di Parlimen, yang kini bertindak anggota Bebas di Dewan Rakyat.

Khalid dan Zulkifli pernah berperang mulut dengan masing-masing mencabar agar keluar parti ekoran polemik penggunaan kalimah “Allah” awal Januari lalu.

Kemudian Zulkifli membuat laporan polis agar Khalid disiasat di bawah Akta Hasutan, mendakwa Ahli Parlimen Shah Alam itu menghina Islam dan institusi diraja dan dewan perundangan apabila meminta agar enakmen agama negeri dikaji semula.

Zulkifli disiasat atas perbuatan itu yang disifatkan sebagai membelakangkan semangat Pakatan Rakyat (PR).

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada PKR yang mempunyai keberanian dan ketegasan untuk mengambil tindakan terhadap Zul Nordin,” kata Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam.

Khalid, yang kini digantung enam bulan daripada semua jawatan dalam PAS memberitahu, walaupun berhadapan dengan kemelut peristiwa Ahli Parlimen yang melompat, PKR masih tetap sanggup melakukan apa yang diperlukan untuk menjamin kestabilan PR.

“Walaupun mereka sedar bahawa pemecatan Zul akan menyebabkan PKR kehilangan satu lagi kerusi Parlimen dan DAP akan mempunyai satu kerusi lebih dari PKR, namun mereka terus bertindak tegas. Syabas,” katanya.

Dalam komen terbukanya yang disiarkan menerusi blog beliau hari ini, Khalid berkata, tindakan tegas ini memberi mesej yang jelas berhubung komitmen PKR terhadap PR.

Sekiranya mereka mementingkan diri mereka semata-mata dan meletakkan PR sebagai perkara yang tidak begitu penting di mana PR di letak di bahu dan bukan di kepala, sudah pasti mereka akan mempertahankan Zulkifli.

“Mungkin dengan amaran keras secara bertulis akan dianggap sudah memadai. Mengapa mereka perlu kehilangan satu kerusi demi menjaga PR?

“Seperti yang selalu disebut, politik merupakan persoalan angka, lebih banyak kerusi maka akan lebih kuat kamu.

“Namun ketegasan mereka ini menyebabkan semua para penyokong PR merasa lega dan selesa. Termasuk juga ahli PAS yang kelihatan turut bersorak semasa persoalan ini disebut,” katanya.

Demi menjaga PR, kata beliau, PKR sanggup memecat beliau walaupun akan kekurangan bilangan kerusi iaitu satu tindakan yang ‘melemahkan diri’ dari sudut angka.

“Saya secara kebetulan pula terlibat secara terus. Ini adalah kerana di antara faktor utama Zul dipecat adalah kerana laporan polis yang beliau buat terhadap diri saya.

“Datuk Seri Wan Azizah telah menyebut semasa konvensyen PR Selangor, ‘Zul menyerang kawan. Kita tidak boleh benarkannya.

“Kenapa dia perlu menyerang kawan. Kawan yang dimaksudkannya itu adalah saya dan saya berasa terharu dengan semangat setiakawan serta kejujuran persepakatan yang ditunjukkan.

“Saya tidak pernah meminta persoalan laporan polis terhadap saya itu diambil kira,” katanya.

Khalid berkata beliau ingin menegaskan kerana tidak pernah mengadu kepada Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ataupun mana-mana pimpinan PKR berhubung tindakan Zulkifli terhadap dirinya.

Mengulas perkembangan semasa ini, Khalid menulis, sekiranya setiap parti dalam PR menunjukkan komitmen terhadap pakatan sepertimana ditunjukkan oleh PKR, beliau yakin PR akan mempunyai masa depan yang amat cerah.

“Namun sekiranya komitmen yang diberikan terhadap PR adalah hanya sekadar yang akan menguntungkan parti sendiri secara jangka masa pendek, maka PR akan sentiasa berhadapan dengan kebuntuan.

“Adalah perlu difahami bahawa masa depan setiap parti bergantung kepada kejayaan PR. Jika PR berjaya, maka setiap satu parti komponen yang bersama PR akan turut berjaya.

“Jika PR gagal, hasil dari keinginan untuk membela orang yang bermasalah dan suka menimbulkan masalah, seperti Zul, demi kononnya kepentingan parti sendiri, maka kita semua akan gagal,” katanya. (Sumber: The Malaysian Insider)

Komen Blog Ibnu Hasyim: YB Khalid Samad puji ketegasan PKR kerana sanggup hilang 1 kerusi parlimennya demi semangat setikawan bersama PR, bertindak kepada orang yang membuat repot polis kepada beliau, walaupun beliau terharu. Itu kata Khalid.

Ada orang lain tambah, PAS sanggup kenakan tindakan disiplin kepada Khalid kerana mempertahankan orang yang dituduh bertindak 'membelakangkan' semangat setiakawan itu. Tapi itu bukan kata Khalid. Cuma anggapan orang luar.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails