Monday, March 08, 2010

Ceramah PR Diserbu 3 Cedera.. Pagi Ini Anwar Sah Di Mahkamah..

Majlis ceramah PR semalam

Gambar: Tiga petugas Pakatan Rakyat yang cedera

Kira-kira 50 FRU..

KL, 8Mac: Malam tadi, Polis menyerbu ceramah sempena dua tahun kemenangan Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan walaupun diadakan di tanah dan bangunan milik kerajaan negeri Selangor iaitu di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.

Akibat serbuan itu, tiga petugas Pakatan cedera, seorang cedera di tangan manakala dua lagi lebam pada muka, leher dan kepala. Mereka kemudiannya membuat laporan polis. Anggota polis dan FRU bertindak menyerbu perhimpunan itu selepas Naib Presiden PKR, Azmin Ali memulakan ucapannya tidak sampai lima minit selepas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berucap sebelumnya.

"Bangunan ini, tanah ini bukan milik Umno, bukan milik Rosmah (isteri Perdana Menteri), tetapi milik kerajaan negeri Selangor atas nama menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim..." tegas Azmin disambut tepukan orang ramai.

Sebaik sahaja selepas berkata demikian, kira-kira 50 FRU yang sudah bersedia seawal Khalid sedang berucap sebelum itu lagi, menyerbu ke pentas dan menghentikan Azmin dari berucap. Menurut maklumat, ada beberapa petugas dan orang ramai yang dipukul oleh FRU kerana cuba menghalang serbuan itu.

Ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah belum sampai. Di atas pentas adalah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Dr Lo' Lo' Ghazali, anggota Parlimen kawasan Titiwangsa, Tan Sri Khalid dan beberapa kepimpinan Pakatan Rakyat wilayah yang lain.

Akibat serbuan itu keadaan menjadi kecoh dan pemimpin pakatan terpaksa masuk ke dalam dewan sebelum berunding dengan pihak keselamatan. Hampir seribu penyokong yang hadir bagaimanapun tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing sambil melaungkan 'reformasi'.

Selain itu, mereka juga membaca doa beramai-ramai memohon program tersebut dapat diteruskan. Setelah hampir 20 minit berbincang, polis kemudian membenarkan ceramah diteruskan tetapi hanya boleh dibuat di dalam dewan sahaja. Ekoran itu, semua para hadirin yang berada di padang diminta masuk ke dalam dewan. Anwar dan isterinya tiba kira-kira jam 10.25 malam dengan disambut teriakan reformasi dan takbir dari orang ramai.

Sementara itu, pagi ini, pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pada 2 September 1998 adalah sah. Keputusan itu dicapai sebulat suara oleh Mahkamah Persekutuan hari ini. Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff berkata Yang di-Pertuan Agong, sebagai monarki raja berpelembagaan akan bertindak atas nasihat perdana menteri dan kabinet bagi membatalkan pelantikan berkenaan. Menurut Alauddin, hakim tidak sangsi bahawa perdana menteri telah menasihatkan yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan pelantikan Anwar. (Pelbagai sumber/AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails