Monday, August 03, 2009

Pertemuan Najib-Nik Aziz 20 Minit, PM Terkejut

IA satu kejutan. Malah Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui ia sesuatu yang beliau sendiri tidak duga. Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz tiba-tiba muncul menyertai pimpinan UMNO Kelantan menyambut ketibaan Perdana Menteri di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu Sabtu lalu.


Ini mengenangkan beberapa hari sebelumnya Mursyidul Am PAS itu membuat kenyataan terbuka ‘ pergi jahanam UMNO’ ketika menjelaskan beliau hanya berminat nak merapatkan hubungan kerajaan negeri Kelantan dengan kerajaan pusat dan bukan nak berbaik dengan UMNO. Juga sehari sebelum itu yakni Jumaat, Nik Aziz memberitahu beliau akan membangkitkan isu kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat pada satu mesyuarat mengenai Pelan Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER) di Putrajaya pada Isnin hari ini.

Tiada siapa tahu kenapa tujuan beliau hadir di lapangan terbang itu. Kebiasaanya dari segi amalan protokal Menteri Besar hanya hadir bilamana Perdana Menteri datang untuk hadir sesuatu acara rasmi kerajaan di negeri itu. Namun kedatangan Najib kali ini adalah untuk merasmikan majlis politik iaitu Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Bharu.

Apapun kehadiran yang tidak dijadual itu memberi peluang kepada Najib dan Nik Aziz berbual selama 20 minit di lapangan terbang itu. Pada pertemuan itu Perdana Menteri telah meminta Menteri Besar Kelantan itu menjaga perasaan ahli UMNO jika mahu membentuk kerjasama antara kerajaan Kelantan dan kerajaan pusat.

Ini dipercayai jelas merujuk kepada kenyataan ‘ pergi jahanam UMNO’ mengenangkan pimpinan UMNO sendiri selama ini tidak pernah mengeluarkan kata-kata sekesat itu pada PAS. "Ada peristiwa saya tidak duga... antara pemimpin yang sambut saya (di lapangan terbang) adalah Tok Guru Nik Aziz. Saya terima bila Tok Guru sambut saya dalam pada itu saya sebut kepada Tok Guru tolong jaga perasaan orang UMNO. Tapi saya rasa Tok Guru faham apa yang saya maksudkan," katanya semasa berucap merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Kota Baharu pada 1 Ogos itu.

Najib berkata Nik Aziz perlu bersikap secara baik dan berhemah dalam meminta untuk kerjasama dengan kerajaan pusat. "Buatlah cara baik buatlah cara menghormati orang lain," katanya. Najib berkata hakikatnya UMNO dan PAS mempunyai matlamat yang sama dalam memimpin negara iaitu membangunkan Malaysia sebagai negara Islam yang maju dan makmur.

Beliau berkata walaupun kedua-dua parti itu berbeza daripada segi ideologi namun matlamatnya sama iaitu untuk memimpin negara sehingga maju dan mendapat keredaan Allah. "Analogi macam kita berada di landasan lebuh raya. Kita (UMNO) dalam lane (lorong) kita, PAS dalam lane dia tapi kita sama-sama menuju mencari keredaan Allah.. Sebab itu kita (UMNO) hidup di negara ini tuhan berikan rahmat kepada kita. Begitu banyak perubahan setelah UMNO memimpin lebih 50 tahun," kata Najib.

Sementara itu bercakap kepada wartawan kemudiannya Najib Najib memberitahu semasa pertemuan di lapangan terbang itu Nik Aziz turut menyentuh soal royalti minyak kepada Kelantan, pembinaan jejantas di Kelantan, pelancongan dan pembinaan sebuah pelabuhan di Tumpat. Perdana Menteri berkata beliau menjelaskan soal royalti masih dalam kajian kerajaan Pusat kerana ini melibatkan kawasan pertindihan. "Buat masa sekarang saya tidak dapat memberi jawapan lagi. Bila selesai kajian, saya atau pun wakil Kerajaan Pusat akan sampaikan kepada kerajaan negeri," katanya. Najib berkata beliau akan menyemak permintaan Menteri Besar yang lain.

Sementara itu pada sebelah petangnya Tok Guru Nik Aziz ketika ditemui wartawan di lapangan terbang Kora Bharu sebelum berangkat ke Kuala Lumpur memberi alas an ‘ kena bercakap’ sebab PAS tak ada radio dan televisyen untuk jawab isu berbangkit. ''Kalau saya buat pekak telinga begitu tak boleh, nanti pula pengikut pakatan akan jadi bermasalah pula, saya terpaksa jawab, tak boleh saya diam begitu. Pihak Perdana Menteri orang nak kata apa pun, kalau dia senyap pun tak apa, dia ada radio, televisyen, dia boleh jawab bila-bila masa,'' katanya.

Beliau memberitahu Najib ada sebut agar beliau jangan cepat sangat menjawab provokasi wartawan. Nik Aziz juga menegaskan beliau tidak akan berhenti selagi ada pihak yang menyerangnya. ''Saya memang tak kacau orang, tetapi kalau orang kacau saya, macam mana. Tidak boleh, kalau saya senyap, saya tak boleh jawab melalui radio, televisyen, saya tak ada apa, nak bercakap mulut, ceramah mana boleh," katanya. -(1/8/2009 Sumber Agenda Daily/AK)

1 comment:

Anonymous said...

Kejutan adalah cara terbaik dalam politik dan perang.

Ini boleh menyebabkan musuh tidak sempat berfikir tentang apa yang sebenarnya harus dilakukan.

Dalam keadaan macam ini, mudah untuk menyerang.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails