Friday, June 05, 2009

Timbang Semula Pembahagian Kerusi Antara Pembangkang.


Barisan kepimpinan tertinggi PAS pusat, hadir upacara perasmian Muktamar Tahunan PAS Ke-55 selama tiga hari bermula pagi ini dengan menyaksikan pemilihan kali pertama selepas pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

SHAH ALAM, 4 Jun. Menurut BERNAMA, Pucuk pimpinan PAS telah diminta supaya menimbang semula pembahagian kerusi antara sekutu mereka di dalam pakatan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang bagi mengelak timbul rasa kecil hati di kalangan anggota dan penyokong PAS.

"Selalunya kalau kawasan yang majoritinya Melayu, yang akan ditandingi ialah PAS sementara di kawasan yang kurang Melayu pula, ia akan ditandingi PKR atau DAP.

"PAS sepatutnya turut layak bertanding di kawasan yang majoritinya bukan Melayu kerana kita ada Kelab Penyokong PAS yang terdiri daripada orang Cina dan India," kata wakil Dewan Ulama PAS Pahang, Shukri Ahmad semasa membahaskan ucapan dasar Ketua Dewan Ulama PAS, Mohamed Daud Iraqi pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS ke-48, di sini, Khamis.

Shukri juga menyarankan agar PAS menggunakan sistem syura, dengan mendapatkan persetujuan bersama tanpa ada pertandingan dalam pemilihan parti itu bagi mengelak berlakunya perselisihan dalaman.

Kemenangan besar pakatan pembangkang termasuk PAS pada pilihan raya umum 8 Mac lalu telah mendorong anggota PAS beria-ria menawarkan diri untuk bertanding jawatan dalam pemilihan parti kali ini, katanya.

"Kini masing-masing nak tawar diri untuk bertanding. Bila bertanding tentu ada yang terguris hati. Sebab itu perlunya Dewan Ulama PAS sebagai tonggak dalam PAS melihat kepada sistem syura," katanaya.

Wakil Dewan Ulama PAS Kedah, Mohd Lutfi Ariffin pula meminta Dewan Ulama PAS memainkan peranan lebih positif dalam menyelesaikan isu yang sering kali ditimbulkan setiap kali muktamar diadakan, seperti isu calon bukan Islam dan yang terbaru kerajaan perpaduan.

"Dewan Ulama kena buat sesuatu, buat kajian untuk atasi masalah ini supaya tidak ditimbulkan lagi setiap kali muktamar diadakan. Dewan Ulama perlu terangkan isu semasa seperti cadangan kerajaan perpaduan, ini kerana ramai yang tidak tahu mengenainya," katanya.
(BERNAMA/AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails