Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan
GEMERCIK air di gunung, mengalir ke bawah melalui sungai... deruannya mengasyik dan mengindahkan. Ia tidak perrnah mengalir ke atas melawan fitrah dan ciptaan semulajadi. Begitu juga burung pungguk atau burung hantu dan unggas malam itu, terus berdendang seperti biasa. Riang-riang, cengkerek terus menyanyi sejak siang tadi. Bercerit geseran pepohon ditiup angin tambah menyerikan, bagaikan indahnya tiupan seruling bambu anak gembala walaupun sambil tidur di atas belakang kerbau gembalaan sebelah siangnya.
Malam itu saya terbangun dari tidur, tidak dapat melelapkan mata. Saya lihat jam, baru 1.00 pagi, mengundang untuk solat tahajjud. Saya dan kawan-kawan tidur tadi lepas Maghrib, setelah kami solat Maghrib-Isyak serentak 'himpun dan pendek'kan. Maklumlah sama-sama letih. Keluar dari rumah di Solok dalam Kebupaten Padang lepas solat subuh, naik motosikal merentasi bukit bukau, perkampungan, ladang kebun, padi huma yang menguning, hijau dan ada yang sedang di bajak. Menuruni kecuraman gunung dan naik lagi hingga hampir tengahari.
Simpan motosikal, kena jalan kaki. Kata kawan saya sebelumnya perjalanan cuma tak sampai 1 jam, baru saya setuju nak ikut, saya fikir macam jalan jogging di tepi padang di KL, rupanya mendaki gunung. Kadang-kadang macam iklan dalam tv berpaut kepada tali sambil mendaki dengan tangan berpaut di batu, memandang nun sayup di bawah.. Saya tak kuat berjalan, entah puluhan kali saya berhenti.
"Kalau kita pergi ke tempat yang kami cadang nak pergi 3 hari perjalanan.. beginilah perjalanan bapak akan jadi 15 hari..." Kata seorang dari mereka kepada saya. Sedangkan mereka menggalas segala barang kelengkapan, makanan dan lain-lain, saya cuma 'lenggang kangkong' sahaja. Tujuan mereka pergi ialah untuk mencari tempat mendulang emas yang baru. Mereka ajak saya ikut. Saya setuju, bukan nak cari emas tapi cuma santai-santai sahaja. Merekalah yang bertungkus-lumus mencari bila sampai di suatu tempat, sedangkan saya hanya mengadap makanan sahaja.
Makan pisang bakar, tangkap ikan sungai dan bakar.. macam-macam makanan yang saya jarang dapati. Itulah yang membuat mereka keletihan dan tidur nyenyak hingga pagi, sedangkan saya terbangun pada jam satu tengah malam. Saya termangu-mangu, sambil terus merenung lagi gemercik air itu, di dalam gelap malam yang berbulan sabit dan bertaburan bintang di langit tinggi. Teringat kata-kata ustaz siang tadi, "Gemercik air itu sebenarnya, ia bertasbih kepada Allah SWT. Dia tidak pernah menderhaka melawan fitrahnya, seperti juga malaikat-malaikat di langit tetap terus beribadat dan menjalankan tugasnya."
Sedang di sungai itu..
Terfikir saya, tidak seperti kita manusia. Di tepian pantai yang indah, angin dingin sepoi-sepoi, laut bergelombang sayang, manusia-manusia bukan muhrim terus berpelukan memuaskan nafsu di gigi air seperti di pantai laut tempat kelahiran kampung saya dulu di Pulau Pinang. Pernah juga semasa saya melalui di lorong-lorang bebukitan Minahasa tempo hari dengan motosikal, terserempak juga tempat permandian yang terluang, di mana wanitanya ramai yang mandi berkemban dan ada yang tidak memakai pakaian.
"Tetapi al-hamdulillah, di kawasan Tanah Minang dan Padang ini tiada manusia begitu." Terang seseorang di waktu yang lain. "Bukan macam gadis-gadis Bali, yang tidak segan-segan kencing berdiri terkangkang di jalanan. Bila ada orang luar terserempak, dimarahinya. Kalau mahu lihat, jangan curi-curi lihat di belakang, datang ke depan lihat terus, barulah jantan!"
"Bagaimana kalau orang itu betul-betul pergi mencarinya?" Tanya yang lain.
"Dilayaninya dengan baik, sehingga ia mengandung dan mendapat anak. Waktu itulah si lelaki akan terperangkap!! Ramai yang sudah terjerat, terutama yang tiada berpegang kepada ajaran agama."
Gemercik air di gunung terus saya renungi. Rupanya air itu berzikir terus, tidak menyanggah peraturan penciptanya. Tidak menyanggah itulah fitrah... dan Islam itu agama fitrah. Manusia yang menyanggah fitrah adalah merosakkan dirinya sendiri. Seperti juga pengguna-pengguna motosikal atau kereta, bila tidak ikut peraturan atau arahan pembuatnya, guna air tak mahu guna minyak seperti yang ditentukan, tentulah rosak keretanya. Bukan salah kereta tetapi penggunanyanya.
Begitulah orang persaorangan, keluarga, masyarakat atau kerajaan yang menolak perintah, atau peraturan yang ditentukan Penciptanya, Menolak perlembagaan Allah, maka berlakulah kerosakan di muka bumi ini. Mari kita sama-sama berzikir dan berfikir, jangan sampai air atau (sumber) alam yang kita gunakan hari-hari itu, diberikan Allah suara atau kuasa memarahi kita.. Waktu itu terkejut sudah tidak berguna lagi lagi, seperti berlakunya tsunami dan sebagainya.
Terbayang saya, kalau sewaktu mencelup air sungai malam itu untuk berwuduk, tiba-tiba dia berkata "Al-hamdulillah! Kamu tidak salah gunakan aku!!", kalau anda, apa anda akan buat??
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
Di Pergunungan Siangus,
Padang, Sumatera Barat..
Mei 29, 2009
1 comment:
namanya pun manusia.. selalu lalai dan lupa diri..
- sukri -
Post a Comment