Friday, June 05, 2009

Kelab Penyokong Pas, Jadikan Institusi Khas -A.Hadi



SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu Kelab Penyokong PAS dijadikan institusi khas menerusi pindaan perlembagaan parti itu. Selain itu, kata beliau, pihaknya akan membenarkan ahli Kelab Penyokong PAS untuk melibatkan diri secara langsung dalam pilihan raya di bawah "payung PAS."

"...bersesuaian dengan perkembangan yang berlaku dan tahap kefahaman ahli PAS yang semakin bertambah, dan sebagai satu proses memperkasakan Kelan Penyokong PAS, maka program orientasi khusus dan umum kepada ahli kelab mestilah dilaksanakan untuk memberi kefahaman yang jelas mengenai perjuangan PAS.

"Juga dicadangkan kepada penggubal undang-undang PAS supaya kewujudan kelab ini diinstitusikan menerusi pindaan Perlembagaan PAS yang bakal dilaksanakan untuk memasukkan peruntukan kewujudan kelab dan statusnya dalam organisasi parti, keahlian dan peranannya dalam parti PAS," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam ucapan dasar Muktamar Tahunan PAS Ke-55 yang bermula hari ini. Abdul Hadi berkata, usaha tersebut merupakan satu langkah bersejarah dalam PAS sebagai paradigma baru untuk memimpin masyarakat pelbagai kaum di negara ini. "Kita juga mengiktiraf ahli kelab untuk menjadi sayap kita yang melibatkan diri secara langsung dalam pilihan raya di bawah payung PAS," katanya.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Peristiwa bersejarah, PAS melangkah lagi ke arah mengembangkan payungnya menaungi masyarakat pelbagai kaum dan agama di dalam negara majmuk.
(AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails