Sunday, June 07, 2009

Sabar , Terima Kasih Kepada Media & Bloggers -Abd Hadi



SHAH ALAM, 7 Jun 2009 - Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang di dalam ucapan penutupnya mengumpamakan PAS sebagai sebuah bahtera yang kukuh dan selamat walau dilanda pelbagai ombak dugaaan. Islam yang memimpin perubahan kerana hanya Islam yang sempurna dan lengkap. Hanya Islam yang berjaya membina tamadun manusia walaupun pada masa kedatangan Islam, telah wujud pelbagai tamadun lain seperti Rom dan Parsi.

Tugas utama pejuang agama Allah ialah menyelamatkan manusia keseluruhannya. Oleh itu hanya melalui pemerintahan usaha ini dapat dilakukan. Pelbagai pendekatan yang boleh dilakukan dan dibenarkan oleh Islam. Allah mengharamkan umat Islam daripada menyerah kalah, sehingga dibenarkan peperangan dalam usaha mempertahankan Islam.

Namun begitu, pendekatan yang paling utama ialah perdamaian kerana matlamat utama adalah untuk menyelamatkan manusia seluruhnya. Kerana itu, tidak boleh menutup pintu perbincangan dengan mana-mana pihak. Perbezaan yang wujud mestilah ditolak dengan cara yang baik.

Dalam mengajak manusia ke arah kebaikan, pelbagai ujian yang dihadapi. Hanya orang-orang yang bersabar sahaja yang dapat menghayati usaha dalam mengajak manusia ke arah kebaikan. Beliau mengingatkan ahli-ahli akan konsep penting dalam jemaah Islam iaitu:

1. Menyuburkan sifat takwa. Ini kerana takwa adalah asas bagi mendapat kemenangan dan pertolongan daripada Allah.
2. Ketakwaan dan wala’. Islam mengajar kita agar taat kepada pemimpin dalam perkara yang tidak melibatkan maksiat.
3. Ukhuwah atau persaudaraan Islam penting dalam membentuk persatuan tidak kira dalam perkara yang dipersetujui atau dalam perkara yang tidak dipersetujui.

Akhir sekali, Tuan Guru merakamkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang hadir, termasuklah pihak media dan bloggers.(AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails