Sunday, June 07, 2009

PAS sasar kuasai 40 kerusi Parlimen..




SHAH ALAM Ahad Jun 7, 2009: PAS meletakkan sasaran menguasai 40 kerusi Parlimen khususnya di kawasan-kawasan luar bandar dalam pilihan raya umum ke-13, yang parti itu menjangka bakal diadakan dalam dua tahun lagi. Sasaran itu digariskan dalam usul yang diterima tanpa dibahaskan oleh Muktamar Tahunan PAS Pusat hari ini.

Sehubungan itu, usul itu mendesak PAS Pusat agar merangka strategi berkesan bagi merampas sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen di kawasan luar bandar dan FELDA di Pahang, Johor, Perak dan Terengganu. Usul itu antara lain berbunyi, Umno dan Barisan Nasional hanya mampu bertahan di kawasan pedalaman Felda dan luar bandar.

Kini PAS mempunyai 23 kerusi di Parlimen. Daripada 23 kerusi itu, lapan terletak di Kelantan, enam (Kedah), dua (Terengganu), dua (Perak), empat (Selangor) dan satu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Selain itu, usul tersebut mendesak PAS Pusat menubuhkan satu jawatankuasa khusus bagi merangka strategi dan menumpukan perancangan dan segala gerak kerja di kawasan yang disasarkan.

Ia juga mahu PAS Pusat menyediakan peruntukan sekurang-kurangnya RM1 juta setahun bagi melaksanakan segala perancangan dan gerak kerja di kawasan-kawasan disasarkan. Selain itu, Muktamar Tahunan kali ini juga mendesak PAS Pusat agar konsisten dengan pendirian untuk terus kekal bekerjasama dan melebarkan kemenangan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-13 demi menegakkan syiar Islam.

Malah, PAS Pusat juga didesak agar berusaha mewujudkan struktur organisasi yang berdaftar atas nama Pakatan Rakyat sebagai alternatif atau pengganti kepada Barisan Nasional bagi menerajui kepimpinan negara. (AK)

2 comments:

Hasbullah Pit said...

Melaka tak masuk senarai?

Anonymous said...

Ini kerja besar yang memerlukan pasukan perancang yang berpandangan jauh di pejabat pengarah pilihanraya PAS.
Pasukan ini juga perlukan gerak kerja yang terkawal dan sulit.
Penyokong oleh membantu dengan menyalurkan maklumat megikut kaedah yang betul dan terkawal.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails