Saturday, October 08, 2022

Kualiti Alam Sekeliling, makin berkembang. Al-hamdulillah

 

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

1. RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2022 lulus

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2022 yang meningkatkan penalti sehingga RM10 juta bagi kesalahan termasuk menempatkan, meletakkan atau melupuskan buangan terjadual selain di premis ditetapkan, diluluskan oleh Dewan Rakyat, hari ini.

Selepas 22 orang membahaskan RUU ini, Ahli Parlimen sebulat suara meluluskan pindaan terhadap undang-undang itu.

Ketika penggulungan petang tadi, Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyambut baik semua Ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan.

Secara keseluruhan, katanya RUU yang dibentangkan ini adalah memfokuskan terhadap penambahbaikan hukuman, penalti serta denda, dan seperti yang dinyatakan sebelum ini, pindaan undang-undang itu yang juga dikenali sebagai Akta 127 akan dibuat secara berfasa.

Mengikut RUU ini yang bertujuan meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mana-mana individu apabila disabitkan kesalahan boleh dihukum tidak melebihi lima tahun penjara dan boleh juga dikenakan denda tidak kurang RM100,000.

Selain itu, individu yang melakukan, membenarkan, mengarahkan atau menyebabkan pembakaran terbuka di mana-mana premis boleh, apabila disabitkan, didenda minimum RM25,000 atau maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman, mengenai keberkesanan hukuman penjara, beliau berkata kementerian ingin menjelaskan bahawa hukuman, penalti dan denda adalah untuk memberi isyarat dan pengajaran kepada semua pihak supaya tidak mencemar alam sekitar.

“Statistik menunjukkan kes yang disabitkan di mahkamah pada tahun 2017 sebanyak 218 kes meningkat kepada 405 kes pada tahun 2020. Oleh itu, langkah ini diyakini dapat mengurangkan lagi kes-kes pencemaran alam sekitar,” katanya.

Tuan Ibrahim menegaskan bahawa usaha menjaga alam sekitar harus dijalankan secara bersama dan bersepadu.

Sehubungan itu, katanya mewakilkan kuasa kepada agensi lain seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang telah dilaksanakan sebelum ini akan diperluaskan kepada agensi penguatkuasaan lain mengikut kesesuaian dan kemampuan agensi.

Berhubung persoalan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Padang Rengas, Dato’ Seri Mohamed Nazri Aziz, sama ada peningkatan denda bertujuan untuk menampung kos pembersihan, Tuan Ibrahim berkata pindaan Akta 127 Fasa 1 adalah sebagai pengajaran.

Selain itu, katanya ia menunjukkan tindakan tegas dan serius kerajaan dalam usaha menangani pencemaran alam sekitar.

Ketika perbahasan, beberapa Ahli Parlimen membangkitkan tanggungjawab besar yang akan dipikul oleh kementerian selepas RUU ini diluluskan.

Menurutnya, KASA akan memastikan keupayaan sumber manusia dan kelengkapan logistik dipertingkatkan, terutama bagi meningkatkan keupayaan pasukan siasatan dan pasukan pendakwa.

“Pada masa ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempunyai kekuatan seramai 1,132 pegawai penguat kuasa di seluruh negara.

“Bilangan ini memang tidak mencukupi bagi menangani kes pencemaran alam sekitar yang semakin meningkat dan mencabar. Oleh itu, KASA sedang meneliti keperluan pertambahan perjawatan bagi mewujudkan pejabat cawangan JAS di setiap daerah di seluruh negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/10/22

2. Perketat kelulusan EIA Tambakan Selatan P Pinang  


LAJNAH Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) Pulau Pinang mengucapkan tahniah kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) kerana telah berjaya membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2022 dan telah mendapat kelulusan sebulat suara dalam Dewan Rakyat. 

LATAS Pulau Pinang juga mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Parlimen yang berbahas memberi input, pandangan dan memberi sokongan kepada RUU untuk diluluskan ke peringkat seterusnya. 

Kesungguhan Menteri KASA, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man bersama kementerian dalam meminda RUU Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 amat dipuji memandangkan isu alam sekitar kurang diambil kisah pada hari ini. 

Perkara ini dapat dilihat apabila sebelum ini mana-mana individu apabila disabitkan kesalahan hanya dihukum tidak melebihi lima tahun penjara dan dikenakan denda tidak kurang RM100,000 yang tidak memberi kesedaran kepada industri dan pihak yang terlibat.

Buktinya kita boleh melihat pelbagai kerosakan alam sekitar yang telah berlaku sebelum ini sehingga turut memberi kesan kepada penduduk berdekatan seperti yang pernah berlaku di Sungai Kim Kim pada tahun 2019. 

Dengan ditingkatkan denda kepada tidak melebihi RM10 juta bagi kesalahan termasuk menempatkan, meletakkan atau melupuskan buangan terjadual selain di premis ditetapkan, diharap semua pihak akan lebih serius dalam menjaga alam sekitar.

LATAS Pulau Pinang juga amat bersetuju apabila kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi sesuatu projek seperti perlu diperketatkan agar alam sekitar dan mereka yang berada berdekatan dengan projek tersebut tidak dijadikan mangsa.

Kami risau sekiranya EIA projek seperti Tambak Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) diluluskan, akan memberi kesan yang teruk kepada ekosistem alam di sana, gangguan kepada jaminan makanan (food security), dan menutup periuk sumber rezeki nelayan di sana.

Semoga dengan usaha KASA ini akan memberi impak yang baik kepada negara dalam membentuk sebuah Malaysia Sejahtera yang masyarakat hidup aman di dalamnya dengan khazanah alam sekitar yang terjaga dengan baik.

Sekian, Terima Kasih

“Malaysia Sejahtera”

SAIFUL LIZAN MD YUSOFF
Pengerusi, Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS)
PAS Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 6/10/2022

3. Hukuman lebih berat menanti penjenayah alam sekitar   

Sungai Kim Kim di Johor yang pernah mengalami pencemaran yang serius

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2022 yang diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini, akan menaikkan kadar denda minimum tidak kurang daripada RM5,000, denda maksimum tidak melebihi RM10 juta dan penjara mandatori tidak melebihi tempoh 5 tahun.

Selain itu, kadar kompaun ditingkatkan daripada tidak melebihi RM2,000 kepada tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum kesalahan berkaitan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pindaan itu juga menetapkan denda maksimum RM10 juta bagi kesalahan melibatkan pencemaran air, pencemaran buangan minyak serta buangan di perairan Malaysia dan pelupusan haram buangan terjadual.

“Selain itu, penjara mandatori tidak melebihi 5 tahun boleh dikenakan ke atas kesalahan melibatkan pelupusan haram buangan terjadual, pencemaran air dan ketidakpatuhan keperluan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA),” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yakin RUU ini dapat memantapkan penguatkuasaan, pencegahan pencemaran dan jenayah alam sekitar daripada terus berulang.

Selain itu, katanya RUU ini diyakini akan mendidik pihak industri dan masyarakat untuk bersama melestarikan alam sekitar.

Katanya lagi, ketegasan melalui peningkatan denda ini adalah isyarat komitmen berterusan kerajaan dalam membanteras pencemaran dan jenayah alam sekitar di Malaysia.

“KASA merakamkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penggubalan dan pemuktamadan RUU ini, terutama semua Ahli Dewan Rakyat dan pembahas serta Jabatan Peguam Negara sehingga diluluskan sebulat suara oleh semua Ahli Dewan Rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/10/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kualiti Alam Sekeliling, makin berkembang. Al-hamdulillah..

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails