Thursday, October 06, 2022

'Jom HEBOH' ini patuh syariat, mu dijemput!

 


Apa ada di program Hidup Bersyariat dan Jom Heboh?

HUJUNG minggu ini ada dua program di Terengganu. Program pertama adalah Program Pembudayaan Hidup Bersyariat selama tiga hari, dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Pelbagai pengisian diatur bagi memahamkan masyarakat berkenaan pelaksanaan syariat Islam dalam kehidupan di Terengganu. 

Antara pengisiannya adalah:

1. Diskusi Pakar; Pelaksanaan Syariat Dalam Pentadbiran.
2. Penerangan Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Terengganu.
3. Forum: Perundangan Islam di Arus Kemodenan.
4. Kuliah; Syariat Islam Manhaj Kehidupan Sempurna.
5. Demo Sebatan Syariah vs Sebatan Sivil.
6. Kembara Jejak Ulama’.

Sangat menarik tajuk-tajuk pengisiannya. Menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasakan pelaksanaan syariah di Terengganu. 

Pejuang-pejuang agenda pelaksanaan syariat wajib hadir ke program ini bagi jelas akan kedudukan terkini Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan syariat di Terengganu. 

Program kedua adalah program Jom Heboh. Biar betul nak laksanakan syariat melalui Jom Heboh. Terkejut ke? Ye, itu yang kita nak buat di Terengganu. 

Bila ada penganjur Jom Heboh dari luar negeri datang nak buat Jom Heboh, Kerajaan Negeri dengan tegas menyenaraikan garis panduan yang perlu diikuti penganjur, apatah lagi kini memasuki Bulan Maulidurrasul.

Persembahan pentas hanya artis lelaki, pengasingan tempat duduk lelaki dan wanita, artis wanita yang mempromosi di reruai jualan perlu menutup aurat. 

Semua syarat ini dipersetujui oleh penganjur untuk diikuti. Alhamdulillah, langkah pertama memperkenalkan garis panduan patuh syariah dalam penganjuran karnival Jom Heboh berjaya. 

Jika program Pembudayaan Hidup Bersyariat diatas adalah teori pelaksanaan syariat, maka program Karnival Jom Heboh inilah akan menjadi medan pelaksanaan syariat yang sebenar. 

Oleh kerana itu, kerajaan negeri benarkan dengan syarat sebagaimana yang dipersetujui.  Pengalaman pahit di Kelantan dan Kedah pastinya membekas pada Terengganu untuk lebih berhati-hati. 

Belum apa-apa, hasrat yang baik dari Kerajaan Negeri ini nampaknya dipersimpangkan oleh pihak penganjur dengan iklan Karnival Jom Heboh yang menggambarkan pelanggaran syarat dan syariat. 

Ditonjolkan anak muda terkinja-kinja dalam video promosi. Apakah seperti itu Jom Heboh di Terengganu diadakan? Jika ya, anda telah langgar syarat kerajaan negeri. 

Kedua, gambar artis wanita di poster dan video tidak menutup aurat. Apakah dalam karnival ini mereka tidak menutup aurat juga? Jika ya, penganjur telah melanggar syariat Tuhan. 

Penganjur jangan bermain-main dengan syarat Kerajaan Negeri. Jika tidak, tindakan seperti di Kedah untuk menghalang penganjuran boleh dikuatkuasakan dengan serta merta. 

Dari sudut hati, saya ingin Jom Heboh terlaksana sebagai satu bentuk pendidikan kepada penganjur-penganjur eventbesar bahawa boleh dilaksanakan karnival secara bersyariat. 

Seterusnya mereka menganjurkan karnival dengan bentuk yang sama di luar dari negeri Terengganu, Kedah dan Kelantan.

Pun begitu, kerjasama yang erat dari penganjur diperlukan. Artis dapat cari makan, kerajaan negeri dapat tonjolkan syariat Islam.

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 4/10/2022



Komen Weblog Ibnu Hasyim:

Secara umumnya, muzik dan seni suara adalah merupakan hasil kreativiti yang mencerminkan manifestasi pemikiran, emosi, dan inovasi manusia. 

Ianya adalah sebahagian daripada aktiviti rekreasi manusia yang terkandung di dalamnya seni, budaya, hiburan, kehalusan bahasa dan juga pemikiran yang sentiasa diperbincangkan dalam mana-mana sejarah, kebudayaan dan tamadun manusia.

Menurut Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) rekreasi membawa pengertian “kegiatan yang menyeronokkan yang boleh menyegarkan kembali kesihatan badan dan melapangkan fikiran seperti beristirehat, menghiburkan hati, beriadah dengan tujuan untuk menyegarkan badan dan akal fikiran.”

Hiburan dalam Islam sangat berlawanan dengan konsep mencari hiburan dan kepuasan murahan bagi memenuhi tuntutan nafsu badani tanpa sempadan. Malah hiburan itu juga adalah suatu yang terkawal dan terarah, dan bukannya satu cara mencari keseronokan dengan cara yang amat bebas sehingga tidak terkawal dan tidak terikat dengan batas-batas perundangan dan nilai keagamaan.

Sebuah hadis Rasulullah SAW. kepada Abdullah bin Amr bin Al-As , yang bermaksud: “Wahai Abdullah bin Amar, “Sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Allah s.w.t., dan ke atas kamu hak untuk tubuh kamu, dan ke atas kamu hak untuk keluarga kamu. Maka berilah kepada yang miliki hak tersebut.”

Terdapat hadis daripada Rasulullah SAW yang mengizinkan gendang dimainkan pada majlis-majlis tertentu, sebagaiman Imam Tarmizi telah meriwayatkan daripada Aishah, katanya: Rasulullah SAW telah bersabda, yang maksudnya:

“Isytiharkanlah perkahwinan ini dan akadlah di masjid serta pukullah rebana.”

Begitu juga sejarah Islam telah menceritakan bagaimana gendang telah digunakan untuk menaikkan semangat pahlawan-pahlawan Islam yang berada di medan peperangan.

Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan ada yang sunat serta ada pula yang haram. 

Nyanyian yang haram disebabkan oleh lima perkara yang mencorakkannya. 

Iaitu: (i) penyanyi, (ii) alat muzik yang digunakan, (iii) susunan kata-kata, (iv) tanggapan pendengar terhadap nyanyian dan (v) pendengar yang terdiri daripada orang awam.

Sementara Sheikh Mahmud Shaltut, bekas Sheikh al-Azhar pula berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu sama ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau ada kecenderungan untuk mempelajari sesuatu daripadanya adalah merupakan keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya. 

Sewajarnya tidak menjadi kesalahan sekiranya hiburan masa kini ingin disemarakkan tetapi hendaklah dibangunkan dalam bentuk dan acuan yang bersandarkan kepada garis panduan Islam kerana pastinya ianya memiliki unsur-unsur positif, terkawal, bersifat mendidik, dan sesuai serta selesa dengan budaya tempatan. 

Sekian.


  Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails