Thursday, October 06, 2022

Konsert Jom Heboh, keagamaan & batal di Kedah.

 


1. Konsert Jom Heboh, sinar dalam kelam

TAHUN 1987, satu konsert oleh dua kumpulan rock, Search dan Gersang, telah diadakan di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, ketika memuncaknya zaman ’rock kapak’. Waktu itu, Kid masih bersama Gersang. Penuh satu stadium rakyat Terengganu yang dahagakan hiburan, berkumpul. Ada yang khayal dadah, ada yang mengajak awek untuk diambil kesempatan.

Bercampur gaul semua jantina. Ya, abang juga ada di dalam stadium dik, sebab mahukan suasana. Akhirnya abang dibelasah dengan cota oleh FRU sebab cuba masuk dalam padang ketika lampu dipadam. Apa nak buat, abang bukan spesis bertaqwa masa tu dik.

Nun, di luar stadium sana, berkumpul puluhan Pemuda PAS dari sekitar Kampung Ladang dan Tanjung, membantah konsert yang melalaikan ini. Memang, PAS di Terengganu anti dengan konsert, walau ada pembantahnya yang cukup hafal lirik dan ‘chord’ lagu-lagu ‘rock kapak’ itu. Terengganu, walau diperintah oleh BN, tetapi almarhum Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, kurang suka dengan hiburan seperti ini. Jarang diluluskan, walaupun judi tidak ditutup. Konsert biasa hanya ada ketika Pesta Pantai, tapi tanpa kawalan yang ketat, bercampur semua.

Apabila PAS memerintah Terengganu, PAS telah memperkenalkan peraturan bagi hiburan yang diperketatkan. Pesta Pantai ditukar konsep yang berbeza. Disko yang dipenuhi arak di Primula, ‘Top of The World’, salah satu GLC Kerajaan Negeri, yang pernah disebut oleh Muda Primula itu, ditutup. Hotel Sri Hoover yang juga membuat persembahan wanita Cina seksi, tidak lagi dibenarkan kerajaan. Maknanya, PAS tidak menghalang hiburan, tapi mengawalnya.

Apabila kalahnya PAS 2004, BN Terengganu cuba memperkenalkan konsep Islamisasi dinamakan Islam Hadhari. Ketika itu, TV3 yang ingin mengadakan Karnival Jom Heboh, menukarkan nama kepada Perkampungan Hadhari dan konsep pengisian iaitu dibuatkan Al-Kuliyyah dan forum. Umno Kelantan Kelantan juga meminta TV3 untuk diadakan Perkampungan Hadhari di Ketereh.

Kerajaan PAS Kelantan meluluskannya dengan bersyarat. PAS positif dengan hal kebaikan. PAS yang kalah banyak ketika itu, membuka hiburan alternatif, setelah bertegang urat berlawan dalil. Konsert pertama anjuran PAS, diadakan di Markas Melewar dengan persembahan oleh Ustaz Akhil Hayy, Ito dan beberapa artis lagi. Konsert kedua ialah di Kota Bharu, tahun 2005 dipersembahkan oleh M. Nasir dan Mawi. Dua konsert yang PAS anjur ini, tidak bercampur jantina, lagu yang baik dan menjaga batas agama. PAS melalui Lajnah Kesenian pimpinan Muhaimin Sulam, cuba merapatkan diri dengan artis, tetapi tidak disambut.

Kemudian, Islam Hadhari berkubur, kerana ia bukan diteraskan oleh sumber agama yang benar. Maka, tiada lagi terdengar konsert tajaan BN yang mengikut kawalan agama, dan juga Perkampungan Hadhari itu. Hilang semuanya kerana tiada ikatan dengan agama secara menyeluruh. Manakala semua konsert PAS selepas itu, tetap dalam ikatan agama yang PAS wujudkan buat pertama kalinya di Markas Melewar, masih dengan disiplin agama, sama seperti mula-mula dahulu, tidak berubah. Kita pegang peraturan kita. Ramai artis mulai mendekati PAS, sehingga berjaya membentuk usrah. Sampaikan artis Zuar XPDC, berjaya menghafal Yaasin.

Isu konsert Jom Heboh yang ada sekarang ini ialah berkenaan nama, kandungan, keadaan dan waktu konsert diadakan. Nama boleh ditukar, tetapi kalau tidak ditukarpun, tiada terlihat kesalahannya. Kandungan hiburan telah diperjelaskan oleh pihak berkuasa. Masuk kawasan kita, kena jaga seketat-ketatnya. Tidak boleh bercampur-campur penonton dan membuat maksiat. Isu waktu, ini saya tidak tahu jika pada bulan Rabiul Awwal tidak dibenarkan berhibur. Setahu saya, hanya ada empat bulan yang haram yang perlu dijaga pantangnya.

Untuk melarangnya terus, saya percaya kena dibincang sedalam-dalamnya kerana Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) juga dihiasi dengan nyanyian artis, bercampur dengan kuliah. Ada juga yang sedang dijalankan sekarang, dalam bulan Rabiul Awwal ini. Konsertnya terkawal, kandungan dan penyanyi dipilih. Jadi, jika Exco Pelancongan berniat menerapkan konsep yang TMBS bawa hampir di semua DUN, supaya Jom Heboh mematuhinya, kenapa ia tidak boleh? Tidakkah baik jika PAS dikenali sebagai pelopor hiburan yang terkawal?

Rokok, kita beri rukhsah, walaupun nyata haramnya. Jika mahu merokok, disediakan tempat merokok. Bola, menerima rukhsahnya walau membuka aurat. Terkadang, kuliah agama dipendekkan pak ustaz, bagi memberi laluan kepada siaran bola. Solat jamak qasar diharuskan dalam bab bola, walau ada keraguan dengan niat permusafiran, adakah diharuskan syarak. Tetapi tiba kepada konsert yang telah kita sediakan semua garis panduan agama, pernah dipersetujui, dipersembahkan di hadapan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, kita tak bagi rukhsah. Mengapa?

Kerisauan berkenaan PAS akan disabotaj, gambar-gambar perempuan yang terkinja-kinja di satu sudut dilakonkan senyap-senyap, kemudian disebarkan, mungkin terjadi, tidak dinafikan. Namun, sejak bila PAS tidak difitnah? Sedangkan diberi bantuan sara hidup, tetaplah juga PAS difitnah, dimaki pilih kroni. Dan, kita akan melihat konsert ini sebagai penanda aras. Inilah konsert yang pertama dan terakhir, jika mereka gagal melaksanakan tuntutan kita, selain daripada penganjur didenda.

Terakhir, politik bukan tempat bagi golongan yang terlalu syadid atau ketat. Sebab itu Presiden PAS sangat bijak, tidak melayan isu khilafiah walaupun diasak oleh golongan yang suka berbalah ini. Politik adalah medan kesabaran untuk melayan semua kerenah manusia, yang baik, jahat, bodoh, cerdik, beriman, jahil, mazhab berbeza, kemudian membawa mereka ke satu jalan lurus yang satu, jalan Islam, yang terkadang terpaksa dilonggarkan mengikut keupayaan mad’u itu.

Tetapi semua itu berdasarkan kesungguhan dan usaha diri mereka sendiri, kita hanya mampu menunjukkan jalan sahaja. Sebab itu sunnah memelihara kambing kerana ia salah satu latihan bagi membentuk kesabaran dalam jiwa manusia dalam berpolitik. Jika tidak sabar, habislah semua kambing itu disembelih asbab geram dan amarah. Dan jangan lupa jemput sekali abang makan, jika sudah masak gulai kambing yang disembelih itu.

Nota: Poster baru Jom Heboh, hanya penyanyi lelaki dipaparkan. Pematuhan pertama

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 4/10/2022



2. Jom Heboh Terengganu ketengah program keagamaan 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails