Saturday, August 13, 2022

Hadi Minallah, ajaran sesat. & serangan bom di Saudi.

 

Gambar hiasan

1. JAWI siasat 'markas' kumpulan ajaran sesat Hadi Minallah

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mendapati kumpulan ajaran sesat Hadi Minallah tidak lagi menggunakan sebuah premis di ibu kota yang dikatakan dijadikan markas kumpulan itu.

Perkara itu hasil siasatan dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JAWI di premis terbabit, baru-baru ini.

Jabatan itu dalam kenyataan, memaklumkan usaha pemantauan lanjut kini sedang dilakukan selepas siasatan mendapati kumpulan itu tidak lagi menjalankan kegiatannya di premis itu seperti ditularkan.

"Bagaimanapun JAWI akan terus melaksanakan pemantauan dan amat mengalu-alukan aduan berterusan daripada masyarakat," katanya.

Sebelum ini, tular poster berkaitan khidmat perundingan ditawarkan seorang lelaki dipercayai pengasas kumpulan itu dikenali sebagai Hadi Minallah Aminullah Ahmad dengan menggunakan alamat di sebuah kondominium di Taman Danau Kota, Setapak.

Kenyataan itu berkata, orang ramai yang mengesan kewujudan kegiatan penyebaran ajaran terbabit di mana-mana premis dalam Wilayah Persekutuan, diminta menyalurkan maklumat kepada JAWI supaya ia dapat dibanteras.

Sebarang aduan berkaitan kegiatan ajaran itu atau kesalahan jenayah syariah lain boleh disalurkan menerusi Hotline Penguatkuasaan di talian 1-800-88-1771 atau Hotline Penguatkuasan JAWI Cawangan Putrajaya di talian 1-800-88-2675.

Aduan juga boleh disampaikan terus di kaunter Bahagian Penguatkuasaan JAWI.

BH sebelum ini melaporkan kerajaan sedang memantau pergerakan kumpulan ajaran sesat Hadi Minallah dikatakan dari negara jiran, yang kini dikesan aktif di beberapa negeri di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata fahaman kumpulan itu nyata dan jelas menyimpang daripada ajaran sebenar Islam.

Terdahulu, kumpulan itu dikesan aktif menyebarkan dakyah sesat mereka melalui Youtube atas nama Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah, selain bergerak sebagai sebuah yayasan dikenali Yayasan Nur Mutiara Makriffattullah.

Berdasarkan video tular itu, seorang lelaki mendakwa pengasas ajaran itu, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minnallah Aminnullah Ahmad dan berasal dari Indonesia.

Lelaki itu mengaku tiada agama dan menyebarkan fahaman makrifat sesat, Nur Muhammad serta pluralisme agama.

Dia juga mendakwa Tuhan tidak melihat kepada agama, selain turut menolak hadis.

Lelaki itu juga didapati menyelewengkan tafsiran al-Quran, menganggap dirinya wali, mengharamkan makan daging dan mewajibkan pengikutnya membayar zakat kepadanya sebagai tanda menyucikan diri.

Pengikut kumpulan itu yang berpakaian putih dan berserban didakwa aktif di Kuala Lumpur; Kajang, Selangor serta Johor.

Susulan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuat laporan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tindakan menyekat penularan ajaran itu. (BH)


2. Suspek serangan bom di Arab Saudi letupkan diri sendiri  

Risalah edaran Menteri Dalam Negeri Arab Saudi pada 2016 menunjukkan senarai sembilan susupek yang dikehendaki kerana mengebom sebuah masjid pada 2015, termasuk Abdullah Zayed al-Bakri al-Shehri (baris kedua, kanan). - Foto AFP

RIYADH: Seorang suspek ahli kumpulan Daesh yang terbabit dalam serangan ke atas sebuah masjid di Arab Saudi pada 2015 meletupkan dirinya ketika cuba ditahan pasukan keselamatan di Jeddah minggu ini, kata pegawai Arab Saudi semalam.

Dalam kejadian itu, empat yang lain cedera apabila suspek, Abdullah bin Zayed al-Bakri al-Shehri, 39, mengaktifkan tali pinggang berisi bahan letupan.

Dia antara seorang daripada sembilan lelaki yang dikehendaki dalam letupan mengorbankan 15 orang dalam sebuah masjid, kebanyakannya polis, berhampiran sempadan Yaman.

"Apabila prosedur penahanannya dimulakan, dia meletupkan dirinya menggunakan tali pinggang berisi bahan letupan yang dipakai, mengakibatkan kematiannya selain mencederakan seorang penduduk warga Pakistan dan tiga anggota keselamatan.

Menurut kenyataan Presidensi Keselamatan Negara yang disiarkan oleh Agensi Berita Saudi (SPA), pegawai yang cedera dan warga Pakistan yang cedera sudah dipindahkan ke hospital tempatan di mana mereka menerima rawatan.

Al-Shehri ditangkap di kawasan kejiranan Al-Samer di Jeddah kira-kira jam 10 malam, Rabu lalu selepas pihak berkuasa berusaha menjejakinya.

Dia adalah suspek keempat dalam senarai sembilan suspek yang diburu, manakala suspek kelima ditangkap pada Mei 2016.

Masjid yang menjadi sasaran itu kerap dikunjungi anggota unit bersenjata dan taktik khas polis di bandar selatan Abha.

Serangan itu didakwa dilakukan oleh kumpulan Daesh, menyusuli pelancaran kempen ketenteraan diketuai Arab Saudi di Yaman pada 2015 selepas pemberontak Huthi yang disokong Iran merampas ibu kota Sanaa. - AGENSI

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Hadi Minallah, ajaran sesat.  Dan juga serangan bom di Arab Saudi. Semuanya perlu ditangani oleh jamaah Islam..

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails