Saturday, August 13, 2022

KL No.3 ‘overworked’ di dunia-Kisi. Rakyat derita?

 

1. KL bandar raya No.3 ‘overworked’ di dunia, Dubai No. 1

NEW YORK: Kuala Lumpur disenaraikan sebagai  bandar raya ketiga di dunia dengan penduduk yang paling banyak menghabiskan masa untuk bekerja (overworked).

Menurut kajian terbaharu oleh Kisi, sebuah syarikat penyelesaian keselamatan Amerika Syarikat, berjudul 2022 Work–Life Balance Index, Kuala Lumpur menduduki tempat ketiga di dunia pada tahun 2022 – tahap  tertinggi pernah berada dalam senarai overworked sejak permulaan kajian tiga tahun lalu, di belakang Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) di tempat pertama, dan Hong Kong di tempat kedua. 

Singapura dan Montevideo, Uruguay masing-masing di tempat keempat dan kelima dalam senarai tersebut.

Sebelum ini, Kajian Kisi melaporkan Kuala lumpur menduduki tempat keempat pada 2019 dan 2020, kelapan pada 2021 dalam senarai tersebut.

Laman analisis Kisi turut menyenaraikan bandar raya-bandar raya terbaik dalam keseimbangan kehidupan dengan kerjaya, dan sebanyak 100 buah bandar raya tersenarai dalam laporan tersebut berdasarkan beberapa kriteria termasuklah  intensiti kerja, kebolehdiaman bandar, kualiti penjagaan kesihatan, kos sara hidup dan tempoh cuti.

Laporan itu turut menyenaraikan Oslo, Norway sebagai bandar raya terbaik dari segi keseimbangan kehidupan dan kerjaya dengan menerima skor markah sebanyak 100 peratus. 

Ia diikuti oleh Bern, Switzerland (99.46 peratus), Helsinki, Finland (99.24 peratus), Zurich, Switzerland (96.33 peratus) dan Copenhagen, Denmark (96.21 peratus). – HARAKAHDAILY 10/8/2022.


2. Rakyat menderita, YB PAS tidak cakna? 


DAHULU, sewaktu almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) masih ada lagi, ada beberapa NGO yang giat melakukan kerja-kerja kebajikan membantu insan-insan yang kurang bernasib baik. Ada yang sangat dikenali namanya, atas dasar bantuan yang mereka hulurkan. Dilihat begitu teratur organisasi mereka menerima sumbangan dan menyerahkan sumbangan kepada sasaran.

Aku melihat betapa, jika NGO sebegini banyak, maka Kelantan akan bertambah makmur disebabkan sikap memberi yang amat tinggi, ia pastinya mengundang reda Allah. Keberkatan rezeki, pasti melimpah ruah. Sikit sama dicicah, banyak sama dilapah, pesan orang tua-tua.

Namun terjadi beberapa tanda yang agak pelik yang membuatkan aku terfikir, kenapa ada NGO bersikap sebegitu. Ketika itu ada beberapa cerita dari  Facebook NGO itu sendiri menyatakan kekesalan mereka terhadap beberapa orang yang memegang jawatan di kampung-kampung tempat mereka mahu memberikan bantuan itu, menyusahkan pergerakan NGO itu. Sepertinya tidak mahu membantu, malah menyekat NGO itu.

Oleh kerana NGO itu sudah mempunyai nama, maka ramailah yang menyokong NGO itu. Pastinya tidak kurang yang menyumpah seranah pemegang-pemegang jawatan di kampung itu sebagai buta perut, gagal menjalankan tanggungjawab, malah menyekat pula kebaikan orang lain. Tegal mereka malu tidak berjaya membantu orang susah, sebaliknya NGO pula yang menonjol.

Lalu aku bertanya kepada salah seorang wakil rakyat mengenai perkara ini. Jawab beliau positif, NGO itu bagus, mahu membantu kita, walau bagaimanapun, kita tetap kena berjaga-jaga. Dan benar sekali telahan beliau. Setelah kematian almarhum TGNA, NGO itupun mula menunjukkan taringnya. Jelas, mereka hanya menanti TGNA meninggal untuk mereka bertindak.

Dan bermulalah episod serangan kepada Kerajaan Kelantan, waktu itu, konon kerana gagal membantu rakyat susah dan miskin di negeri itu. Mereka melantik pula beberapa orang sukarelawan mereka sendiri, mengenepikan wakil kerajaan di kampung, lalu bertindak sendirian untuk mengagihkan bantuan sambil mempamerkannya di media sosial dengan sambutan komen dan kritikan ada yang mencaci maki wakil kerajaan atas apa yang mereka anggap sebagai kegagalan itu. Sebolehnya tiada langsung kerjasama mereka dengan wakil kampung yang sah.

Dan sahihnya curiga aku terserlah apabila rupanya orang NGO itu adalah lawan PAS. Mereka berkempen menentang PAS dalam PRU. Ayat-ayat yang menyedihkan, sentiasa dijadikan umpan bagi membina plot yang lebih menarik. Dan ia berterusan agak lama, sehinggalah PAS berjaya mempertahankan Kelantan dalam PRU14. Kelihatan pergerakan mereka agak perlahan. Penat mungkin. Patutlah pengurusan kampung tidak mahu melayan kerenah mereka walau diugut.

Hanya sekadar pemberitahuan kepada mereka yang tidak biasa dengan pengurusan atau pentadbiran di kampung, semua senarai nama orang miskin susah atau mereka yang memerlukan bantuan, ada dalam senarai Jawatankuasa Permuafakatan Komuniti Kampung (JPKK). Ini adalah kerana JPKK bersaiz kecil dan akan ada beberapa orang wakil kampung-kampung dalam organisasi JPKK itu. Saiz JPKK adalah dalam jangkauan pengurusan.

Teramatlah mustahil bagai JPKK tidak mengetahui jika ada orang miskin di dalam kawasan mereka. Saya tidak mahu menyatakan mustahil secara mutlak, mungkin ada satu dua kes yang terlepas pandang. Tetapi jika banyak kes yang kononnya berlaku, maka percayalah, ia ada cerita tidak penuh yang diberikan. Ia hanya satu gimik sama ada kerana mahu menjatuhkan PAS ataupun kerana dia mahu mengutip derma.

Bayangkan, Saidina Umar yang mulia itu juga tidak mengetahui adanya orang miskin di Madinah dalam kisah yang masyhur berkenaan seorang ibu merebus batu dan Saidina Umar mengangkat dan memasak sendiri gandum untuk keluarga itu. Ia kelemahan yang diakui sendiri oleh Saidina Umar. Tetapi adakah hina Saidina Umar? Tentu sekali tidak, kerana manusia sememangnya bersifat lemah. Justeru, apa lagi wakil rakyat PAS yang tidak semulia Saidina Umar ini?

Yang harus kita merasa pelik ialah, golongan yang sentiasa terjumpa dengan orang susah, lebih aneh, orang susah itu banyak di kawasan wakil rakyat PAS. Mereka bangga mengeberkan bantuan mereka membabi buta, tanpa mengetahui mengenai latar belakang yang dibantu itu. Kemudian menimbulkan fitnah bahawa wakil rakyat PAS tidak menjalankan amanah. Bukankah itu lebih pelik? Dan akhirnya menurut rekod JKM dan agensi lain, asnaf itu telahpun dibantu dengan kadar yang berpatutan. Atau terkadang, mereka sendiri yang masih memilih hidup sebegitu.

Dan terpaling pelik lagi, mereka meminta derma untuk membantu rakyat, namun tiada langsung audit daripada derma yang mereka minta daripada rakyat itu. Bimbang juga apabila Pengarah Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Ayob Maidin Pichay mendedahkan bahawa aktiviti mencuci wang haram, banyak dibuat melalui apa yang didakwa sebagai kutipan derma.

Tidak cerdik YB-YB PAS jika sudah mengetahui, kemudian sengaja membiarkan rakyat di kawasannya susah, dalam keadaan orang begitu mudah menularkannya. Semoga wakil rakyat PAS terus tabah menghadapi ujian difitnah, bahawa mereka tidak cakna kepada rakyat mereka, membiarkan rakyat merempat dan merana, sedangkan pasukan kebajikan mereka bekerja siang malam. Allah Maha Mengetahui. Tahniah YB-YB PAS atas usaha murni, walau difitnah.

MOHD NASIR ABDULLAH
11 Ogos 2022 – HARAKAHDAILY 11/8/2022

Komen Weblog Ibnu Hasyim: 

(i) KL No.3 ‘overworked’ di dunia. -Kajian terbaharu Kisi. Kuala Lumpur, kita punya, Insya Allah!

(ii) Rakyat menderita, YB PAS tidak cakna, benarkah?

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails