Sunday, August 07, 2022

Peras ugut berkhalwat, nikah S/Thai & Imam Mahadi

 


1. Peras ugut pasangan kekasih berkhalwat, 2 polis bantuan ditahan

JOHOR BAHRU: Dua anggota polis bantuan di sebuah pusat beli-belah di sini, ditahan semalam selepas dipercayai terbabit dalam kes memeras ugut sepasang kekasih yang didakwa berkhalwat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata kedua-dua suspek masing-masing berusia 25 dan 32 tahun, ditahan pada jam 9 malam susulan laporan dibuat mangsa yang berusia 25 tahun.

Beliau berkata, dalam insiden pada Jumaat lalu, pasangan kekasih itu yang dipercayai berkhalwat di belakang bangunan pusat beli-belah itu dalam sebuah kereta pada jam 10 malam, didatangi kedua-dua suspek yang meminta RM500 sebagai ganjaran supaya mereka tidak dikenakan tindakan undang-undang.

"Memandangkan pengadu tidak mempunyai wang tunai mencukupi, kedua-dua individu itu meminta mereka menyerahkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) berserta nombor pin untuk mengeluarkan sendiri wang di mesin ATM.

"Selepas itu pengadu dilepaskan, namun pengadu menerima pesanan ringkas melalui telefon bimbit daripada pihak bank bahawa ada pengeluaran wang sebanyak RM1,000 daripada akaunnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata, susulan penahanan kedua-dua suspek, pihaknya turut merampas wang tunai sebanyak RM1,000.

Beliau berkata, mereka direman selama empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-218 2323 atau Pegawai Penyiasat Kanan, S Sivakumaran di talian 019-512 7410.

– BERNAMA


2. Rakyat Malaysia nikah di Selatan Thailand dinasihat tidak lengahkan daftar perkahwinan 

Program mahabbah delegasi Raja Muda Perlis bersama masyarakat ketika lawatan ke Masjid Nurul Syuhadak di Coconut Island di Phuket hari ni. - Foto BERNAMA

PHUKET (THAILAND): Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Muhammad Ridzuan Abu Yazid menasihati rakyat Malaysia yang berkahwin di Selatan Thailand supaya tidak melengahkan pendaftaran perkahwinan mereka apabila kembali ke tanah air.

Beliau berkata pendaftaran perlu dilakukan bagi mengelak berlaku masalah pada masa akan datang.

"Mereka yang ingin melangsungkan perkahwinan di Thailand perlu membuat perancangan supaya perkahwinan itu sah dari segi undang-undang," katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Mahabbah 2022 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat ke program itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs dan anakanda baginda Syed Sirajuddin Areeb Putra. 

Muhammad Ridzuan turut menasihati orang ramai berwaspada dengan tawaran oleh sindiket pernikahan supaya tidak tertipu dan menyebabkan perkahwinan mereka tidak sah."

Pasangan yang ingin berkahwin di sini perlulah mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam negeri masing-masing," katanya. – BERNAMA


3. Jangan mudah terpengaruh dakwaan kedatangan, akhiran Imam Mahadi 

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

GEORGETOWN: Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor meminta umat Islam tidak memberi perhatian yang berlebihan mengenai isu kedatangan Imam Mahadi.

Katanya, ini berikutan banyak dakwaan mengenai kelahiran Imam Mahadi oleh pelbagai pihak akhir-akhir ini, dibimbangi boleh mengelirukan masyarakat Islam, terutama mereka yang kurang dari segi pengetahuan agama.

Beliau berkata, umat Islam masih memiliki dua sumber sahih bagi dijadikan pedoman dan panduan kehidupan iaitu al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah, maka berpegang kepada kedua-duanya sudah cukup bagi membangun kehidupan yang baik, maju dan mulia.

"Lazimnya kedatangan Imam Mahadi dikaitkan dengan harapan bagi memenuhi muka bumi ini dengan keadilan setelah ia diselubungi kezaliman.

"Dalam kalangan masyarakat Islam termasuk di Malaysia, kepercayaan berhubung kelahiran Imam Mahadi ini bersumberkan puluhan hadis, antaranya ada yang sahih, namun kebanyakannya adalah daif," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Wan Salim berkata, dalil mengenai kelahiran Imam Mahadi yang dinanti itu sering dijadikan objek perbincangan dalam kalangan ulama, namun tiada dalil menunjukkan kepada kemustahilannya.

Katanya, kemunculan Imam Mahadi boleh dipercayai, namun sesiapa yang tidak percaya tidaklah jatuh kafir.

"Pada pandangan saya umat Islam tidak perlu memberi perhatian berlebihan berhubung isu ini dan mampu mengembalikan tamadun gemilang tanpa perlu menunggu kedatangan 'Sang Penyelamat' yang tidak diketahui secara pasti masa kemunculannya," katanya.

Wan Salim berkata demikian berikutan laporan media susulan keputusan Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS) menutup pusat pengamalan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah pimpinan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad di Kampung Batu 8 Labu, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Penutupan dibuat JMNS selepas menerima aduan tarekat itu melakukan perbuatan bercanggah dengan hukum syarak serta bercanggah dengan bentuk pengamalan tarekat tasawuf direkodkan dalam daftar mengikut perenggan 11(1)(h) Enakmen Tarekat Tasawuf Negeri Sembilan 2005.

Menurut Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, dakwaan Imam Mahadi akan muncul pada Hari Arafah tahun ini antara punca tarekat itu disiasat JMNS.

Dakwaan itu dimaklumkan oleh sebahagian pengikut tarekat berkenaan kepada JMNS selepas mereka mula menyedari pengamalan yang dilakukan Habib Shah Firdaus bertentangan dengan hukum syarak.

Komen Weblog Ibnu HasyimPeras ugut berkhalwat, nikah Selatan Thai dan Imam Mahadi, antara isu-isu semasa hal Islam masa kini yang perlu dicari oleh setiap umat.


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

1 comment:

Anonymous said...

Ph ada dap. Dap suka arak. Dap suka tattoo. Dap bawa faham komunis. Dap ada skandal trowong.

Ph ada pkr. Pkr bawa liberal. Pkr tolak hudud. Pkr tiada fakeh politik Islam.

Jom sokong pas. Bersih. Tiada rasuah. Tiadaa salah guna kuasa.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails