Tuesday, August 09, 2022

Mat Sabu, Chin Tong sanggah Najib, Hishammuddin &...

 

Model kapal Litorial Combatant Ship (LCS)

Mat Sabu, Chin Tong sanggah Najib, Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bahawa kapal pertama daripada enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang ditempah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan siap dalam tempoh satu hingga dua tahun, disifatkan tidak realistik kerana reka bentuk terperinci kapal yang sepatutnya dimuktamadkan pada November 2016 itu, hanya siap kira-kira 80 peratus.

Dalam satu kenyataan bersama, bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, mendakwa reka bentuk terperinci berkenaan perlu mendapat kelulusan Naval Group dari Perancis selaku pihak berkuasa reka bentuk sebelum pembinaan kapal, namun firma itu masih mendapat bayaran.

"Bagi tujuan kawalan mutu, reka bentuk LCS yang dihasilkan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tertakluk kepada kelulusan Naval Group, diikuti pemeriksaan dan pengesahan oleh Bureau Veritas, sebuah badan bebas antarabangsa bagi memastikan reka bentuk kapal perang menepati syarat seperti yang ditetapkan dalam kontrak.Menurut kontrak asal, fasa reka bentuk terperinci sepatutnya dilaksanakan dari 6 Ogos 2014 hingga 29 November 2016, namun fasa itu berterusan sehingga hari ini dan masih belum selesai.

"Proses reka bentuk adalah proses yang paling penting dalam pembinaan LCS. Tanpa reka bentuk lengkap yang diluluskan Naval Group dan Bureau Veritas, projek LCS tidak dapat diteruskan dan sebarang status siap kerja yang lain adalah tidak bermakna," katanya.

Semalam, Hishammuddin ketika sesi soal jawab di Dewan Negara, memaklumkan kapal pertama LCS diharap dapat disiapkan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi untuk diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Katanya, buat masa ini, beliau tidak dapat memberi tempoh sebenar bagi enam kapal LCS itu untuk siap sepenuhnya kerana Kabinet memberi tempoh enam bulan kepada kementeriannya untuk memobilisasi usaha menghidupkan semula projek pembinaan kapal berkenaan.

Kedua-dua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) itu turut menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bahawa projek LCS terbengkalai kerana kerajaan PH menangguhkan projek itu pada September 2019 sambil menyifatkan ia hanya bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

Katanya, pada 11 Februari 2020, PH membuat keputusan berhubung hala tuju projek itu, berdasarkan laporan siasatan LCS oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika itu memutuskan mereka yang terbabit dengan salah laku mesti dibawa ke muka pengadilan, pasukan pengurusan BNS dirombak dan projek itu dianggap sebagai projek sakit serta akan menerima suntikan dana bagi mengganti semula dana yang didakwa diseleweng.

"Kementerian Pertahanan diarah membentang kertas Jemaah Menteri dalam masa terdekat. Malangnya, apa yang dirancang tidak berlaku berikutan Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan PH.

"Najib sedang cuba mengelirukan rakyat dan menyalahkan PH, sedangkan beliau sendiri dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (bekas Timbalan Perdana Menteri) yang bertanggungjawab atas kegagalan projek LCS, kerana meluluskan projek ini tanpa rundingan teliti dengan pakar terdahulu," dakwanya.


2. 'Menteri Pertahanan setuju tukar rekabentuk LCS ikut cadangan kontraktor, bukan keputusan TLDM'  

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesan percanggahan dalam keterangan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan pada 2011, mengenai pertukaran reka bentuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) dari SIGMA kepada GOWIND.

Berdasarkan laporan prosiding bertarikh 25 Oktober tahun lalu, Presiden UMNO itu memaklumkan pertukaran reka bentuk itu seharusnya dipertanggungjawab oleh pengguna akhirnya dan bukannya dipikul menteri.

Menurut Ahmad Zahid, reka bentuk yang diubah daripada SIGMA kepada GOWIND adalah keputusan yang dicapai susulan dari cadangan dan syor kontraktor kapal LCS iaitu Boustead Naval Shipyard (BNS) dan Naval Group.

Jelasnya, kedua-dua syarikat mengemukakan penjelasan kelebihan reka bentuk GOWIND dan menunjukkan reka bentuk sedemikian adalah yang terbaik dalam memenuhi keperluan serta penggunaan kapal-kapal LCS di Malaysia.

Selain itu, katanya perubahan reka bentuk kapal LCS tertakluk kepada pilihan kontraktor pembinaan kapal iaitu BNS dan Naval Group dan bukan atas pilihan termasuk keputusan Menteri Pertahanan ketika itu.

"Saya sebagai Menteri Pertahanan tidak ada latar belakang teknikal terutama dari segi menentukan reka bentuk kapal itu.

"Ini kerana pertamanya, reka bentuk yang dibuah sebagaimana Yang Berhormat sebut daripada SIGMA ke GOWIND adalah keputusan yang dicapai susulan cadangan dan syor daripada kontraktor pembinaan kapal LCS iaitu Boustead Naval Shipyard (BNS) sendiri dan juga French Naval Group yang memberikan khidmat nasihat kepada BNS.

"Faktor kedua, perubahan reka bentuk kapal LCS adalah tertakluk kepada pilihan kontraktor pembinaan kapal. Saya sebutkan tadi BNS dan French Naval Group dan bukan atas pilihan dan keputusan Menteri Pertahanan ketika itu.

"Ketiga, keputusan perubahan reka bentuk tidak akan dibuat sewenang-wenangnya tanpa cadangan dan syor daripada pasukan arkitek pembinaan LCS. Ia disyorkan oleh kumpul arkitel naval. Ia bukan daripada menteri," katanya.

Ahmd Zahid turut menjawab soalan dibangkitkan seorang anggota PAC, Nurul Izzah Anwar mengenai adakah apa yang disebutkan dalam surat BNS itu juga mewakili pengguna akhir selain terdapat suara dalaman mewakili syarikat sama dalam surat kepada Menteri Pertahanan dan juga Perdana Menteri.

Menjawab soalan itu, Ahmad Zahid menjelaskan, Pengerusi Eksekutif BNS dijawat oleh bekas Panglima Tentera Laut yang mengetahui tentang keperluan pengguna akhir.

"Dalam hal ini, pada hemat saya, pengerusi ketika itu yang mempunyai latar belakang yang terlalu luas di dalam bidang kelautan dan keperluan perairan di sini setelah mendapat pandangan daripada end user (pengguna akhir) tentunya mencadangkan supaya perubahan reka bentuk itu dibuat.

"Jadi, saya ingin ulang sekali lagi bahawa pihak kementerian, menteri, KSU (Ketua Setiausaha) dan lain-lain mengikut apa yang telah dicadangkan oleh pihak end user," katanya.

Dalam prosiding sama, Ahmad Zahid turut mengakui beliau tidak tahu mengenai butiran perubahan reka bentuk LCS kerana keputusan dibuat di peringkat kementerian berdasarkan keperluan pengguna akhir.

Beliau juga tidak mahu membincangkan mengenai pertembungan personaliti yang berlaku dalam TLDM. 

Kapal Tempur Pesisir (LCS) sewaktu upacara penamaan dan pelancaran di dermaga Boustead Naval Shipyard, pangkalan TLDM Lumut, pada 24 Ogos 2017. - Foto fail NSTP

Timbalan Ketua Sekretariat Jawatankuasa Khas Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), Guna Arulalan David, ketika memberi keterangan pada 1 Disember 2020 berkata, pada asalnya TLDM bersetuju dan mengkehendaki reka bentuk SIGMA.

SIGMA ialah LCS daripada Belanda yang pada asalnya dipersetujui oleh pihak pengurusan atasan MINDEF dan Menteri Pertahanan ketika itu.

Namun begitu, disebabkan cadangan dikemukakan BNS, maka reka bentuk asal ditukar kepada GOWIND iaitu dari Perancis.

"Ya pada 26 Mei 2011, kita dapati Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju dengan cadangan TLDM untuk reka bentuk SIGMA dan Sistem Pengurusan Kombat yang berkaitan adalah daripada Palaise, Perancis.

"Pada 11 Julai 2011, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamiudi bersetuju pula untuk memilih reka bentuk GOWIND. Pada 26 September 2011, bersetuju untuk perubahan kepada Sistem Pengurusan Kombat daripada yang asalnya taktikal ditukar kepada SETIS. Jenis SETIS dari Perancis juga atas syor syarikat BNS," katanya.

Arulalan David berkata, TLDM juga tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan tetapi terpaksa menerima memandangkan keputusan dibuat pihak pengurusan atasan MINDEF.

"Sebenarnya TLDM tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, malahan kita juga dapati ada surat daripada Panglima Tentera Laut pada masa itu yang menyatakan dengan jelas, saya memetik, tidak pernah berlaku pemilihan reka bentuk yang ditentukan oleh kontraktor utama dan bukannya oleh pihak pengguna.

"Ini adalah ayat daripada surat yang dikemukakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar pada masa itu," ujarnya. (BH)

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails