Thursday, August 11, 2022

Sebar lucah.. & Kerja 45 jam seminggu.

 

Hishamudin (kiri) menyerahkan memorandum kepada wakil Jabatan Imigresen di Putrajaya, menggesa menyenarai hitam seorang warga Singapura yang didakwa menyebarkan kandungan berunsur lucah melalui Facebook. - NSTP/SAMADI AHMAD

1. Pihak berkuasa digesa ambil tindakan lelaki sebar kandungan unsur lucah

PUTRAJAYA: Tindakan seorang lelaki dipercayai warga Singapura yang didakwa menyebarkan kandungan berunsur lucah melalui akaun Facebook boleh merosakkan pemikiran kanak-kanak dan membangkitkan kemarahan orang ramai.

Setiausaha Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, berkata lelaki berusia lingkungan 60-an itu menggunakan akaun Facebook 'Wang Lei' untuk menyebar video dengan kandungan berunsur lucah.

Katanya, tindakan tidak senonoh individu berkenaan sangat mengaibkan kerana menggalakkan budaya lucah serta mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya.

Beliau berkata, video yang disebarkan itu juga memaparkan lelaki terbabit memakai baju T berwarna hitam yang di luarnya terdapat pakaian dalam wanita berwarna merah jambu dan mengenakan skirt putih.

"Sebelum ini lelaki berkenaan dilaporkan pernah membuat promosi di sebuah pusat beli-belah di Ipoh, Perak yang disiarkan secara langsung di Facebooknya, meminta seorang wanita tempatan meniup kondom untuk dijadikan belon," katanya.

Hishamuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum mengenai isu itu kepada Jabatan Imigresen, di sini hari ini, meminta pihak berkuasa terbabit menyenarai hitam lelaki berkenaan daripada memasuki Malaysia.

Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia (Semboyan Malaysia), Yusuf Azmi.

Sebelum ini, katanya, MHO menerima beberapa aduan berkenaan akaun Facebook individu terbabit serta perbuatannya di sebuah pusat-beli belah di negara ini dan sejak dua minggu lalu, lebih 20 laporan polis sudah dibuat meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap lelaki berkenaan.

Menurutnya, MHO juga sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) meminta agar video berkenaan diturunkan bagi mengelak ditonton kanak-kanak kerana dibimbangi boleh merosakkan pemikiran mereka selain membangkitkan kemarahan orang ramai.

"MHO menggesa Jabatan Imigresen menyenarai hitam individu berkenaan daripada memasuki negara ini, manakala pihak berkuasa lain mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana melakukan perbuatan tidak senonoh di khalayak ramai," katanya. (BH)


2. Kerja 45 jam seminggu berkuat kuasa 1 September 

Pindaan Akta Kerja berhubung waktu kerja dipendekkan daripada 45 jam daripada 48 jam seminggu bertujuan menjaga kebajikan pekerja serta memberi kelonggaran dalam waktu kerja, selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). - Foto hiasan NSTP

KUALA LUMPUR: Pindaan kepada Akta Kerja 1955 berhubung pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam akan berkuat kuasa pada 1 September ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim memberitahu Dewan Negara kelmarin bahawa pindaan itu bertujuan menjaga kebajikan pekerja serta memberi kelonggaran dalam waktu kerja, selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Pindaan ini juga membolehkan pekerja menggunakan susunan waktu bekerja yang lebih fleksibel.

Di bawah peraturan baharu itu, pekerja dibenarkan bekerja mengikut kesesuaian tempat, waktu dan hari bekerja termasuklah bekerja dari rumah ketika situasi kecemasan seperti pandemik COVID-19.

"Setakat hari ini, tiada cadangan atau libat urus untuk pihak kementerian laksanakan berhubung kerja empat hari seminggu," katanya seperti dilaporkan BERNAMA.

Awang berkata demikian menjawab soalan Senator Nasir Hashim mengenai dasar kerajaan berhubung kerja empat hari seminggu terutama dalam sektor swasta.

Sementara itu, pada Jun lalu, BH melaporkan Awang sebagai berkata pekerja di negara ini dibenar memohon aturan kerja fleksibel (AKF) kepada majikan masing-masing mengikut pindaan Akta Kerja 1955 berkuat kuasa 1 September ini.

Pekerja hanya perlu membuat surat permohonan berkenaan kepada majikan sama ada memohon perubahan waktu bekerja, hari bekerja dan perubahan tempat kerja.

"Majikan pula perlu memberi jawapan dalam tempoh 60 hari.

"Dalam surat jawapan bertulis majikan kepada pekerja, mereka perlu nyatakan sama ada menerima permohonan atau menolak permohonan dengan alasan yang perlu dinyatakan," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, sejumlah 62 peratus pekerja sepenuh masa di Malaysia lebih gemar fleksibiliti bekerja berbanding hari kerja yang pendek seperti empat hari seminggu, mengikut tinjauan oleh Qualtrics syarikat berpengalaman mengendalikan tinjauan secara dalam talian.

Secara keseluruhan, di Asia Tenggara keutamaan untuk fleksibiliti adalah sebanyak 60 peratus memilih minggu bekerja yang lebih singkat.

Awang berkata, keputusan kerajaan dalam AKF itu bagaimanapun tidak 'mengikat' majikan dan ia bergantung kepada kesesuaian agensi serta syarikat masing-masing.

Sementara itu , beliau berkata, pihaknya bersedia membuat kajian mengenai dasar tempoh bekerja empat hari dalam seminggu seperti mula dilaksanakan di beberapa negara maju.

Katanya, kajian mengenai perkara itu perlu dilakukan secara menyeluruh berikutan terdapat majikan yang terkesan atas faktor produktiviti rendah.

"Jadi majikan pun perlu ada kajian tersendiri mengenai perkara ini dan kemudian boleh dibawa dalam perbincangan bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan JPPM," katanya. (BH)

Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails