Monday, April 25, 2022

Terowong bawah tanah Melaka-Dumai & Imbas Terowong Jokari.

 

Ab Rauf (kanan) menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada anggota komuniti DUN Tanjung Bidara di Tanjung Bidara, Masjid Tanah. - NSTP / HASSAN OMAR

1. Melaka cadang bina terowong bawah tanah ke Dumai

MASJID TANAH: Kerajaan negeri menunggu jawapan daripada Presiden Indonesia, Joko Widodo untuk berbincang mengenai pembinaan terowong dasar laut menghubungkan Melaka dan Dumai di Sumatera, Indonesia.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri bercadang memajukan Pantai Telok Gong, di sini sebagai tapak permulaan pembinaan terowong itu dan berakhir di Dumai.

Beliau berkata, terowong sepanjang kira-kira 47.7 kilometer (km) itu tidak membabitkan kewangan kerajaan negeri, sebaliknya dibiayai sepenuhnya syarikat swasta yang berminat memajukannya.

"Kami masih menunggu maklum balas daripada pihak Presiden Indonesia, Bapa Jokowi dan setakat ini sudah ada syarikat swasta berminat untuk memajukannya.

"Cadangan projek itu bukan setakat menghubungkan Melaka dengan Dumai, sebaliknya Malaysia dengan Indonesia," katanya pada majlis penyampaian sumbangan kepada 500 anggota komuniti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dan berbuka puasa di Tanjung Bidara, malam tadi.

Ab Rauf menjelaskan, cadangan projek berkenaan adalah sebahagian rangkaian jalan darat dari Shanghai, China ke Indonesia melalui konsep 'One Belt One Road' yang dimajukan pihak dari China.

Katanya, jalan itu melalui Vietnam, Kemboja dan Thailand sebelum bersambung dengan Malaysia dan kerajaan Melaka bakal memajukan laluan sepanjang 22 km dari Simpang Ampat di Alor Gajah ke Telok Gong.

"Ia cadangan kerajaan negeri yang akan diambil inisiatifnya oleh syarikat swasta untuk dimasukkan dalam Pelan Dasar Fizikal Negara dan sedang dinilai Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

"Kita bukan setakat membawa jalan ke Indonesia, malah kita membawa dunia ke negeri ini yang bakal membawa kemajuan dan peluang pekerjaan kepada 50,000 orang, khususnya rakyat Melaka," katanya.

Ab Rauf ketika ditanya bagaimanapun enggan menjelaskan mengenai kos cadangan projek berkenaan.

Beliau berkata, laluan Simpang Ampat-Telok Gong akan turut dimajukan dengan pelbagai perindustrian untuk meraih manfaat daripada kemajuan yang dibawa melalui pembinaan terowong berkenaan.

Katanya, meskipun sesetengah pihak kurang yakin projek berkenaan mampu dilaksanakan, kerajaan negeri tetap positif ia mampu direalisasikan sekali gus membawa kemajuan menyeluruh.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat memastikan kerajaan negeri kukuh dan stabil dari aspek politik bagi menjamin pembangunan berterusan. (BH)

2. Imbas kembali Terowong Jokari M'sia-Indo

Projek pembinaan gabungan jambatan-terowong dasar laut itu jika diluluskan menelan kos RM8 bilion.  

Ada pihak sedia biayai pembinaan JOKARI Link

KULAIJAYA: Walaupun gabungan jambatan-terowong dasar laut ‘Johor-Karimun-Riau Link’ (JOKARI) masih di peringkat cadangan, namun telah ada pihak yang tampil untuk membiayai pembinaannya yang menelan belanja RM8 bilion.

Dekan Penyelidikan Bersekutu Pembinaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Mohd Zaimi Abdul Majid, yang mencadangkan pembinaan JOKARI Link itu, berkata pembiaya telah bersetuju untuk melabur dalam projek itu.

“Kita telah pun mengemukakan kertas cadangan kepada pihak pembiaya dan reaksi mereka adalah positif untuk membiayai pembinaan JOKARI Link. Jikalau kedua-dua negara (Malaysia dan Indonesia) menyokong projek ini, ia akan menjadi realiti,” katanya kepada Bernama dalam temuramah baru-baru ini.

JOKARI Link, katanya, melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 5km yang menghubungkan Kukup, Pontian ke pulau buatan manusia yang terletak di perairan antarabangsa di Selat Melaka.

Menurut Dr Mohd Zaimi, pihaknya mencadangkan pembinaan terowong dasar laut sepanjang 13km bagi menghubungkan pulau buatan manusia itu ke Pulau Karimun Kecil, Riau, Indonesia.

“JOKARI Link boleh disiapkan dalam tempoh tujuh tahun,” katanya.

Beliau yang enggan mendedahkan identiti pembiaya itu berkata mereka telah melakukan kajian aspek pulangan pelaburan dan menjangkakan tempoh antara 15 hingga 16 tahun untuk memperoleh kembali modal pelaburan.

Jika pembinaan JOKARI Link memperoleh lampu hijau daripada kedua-dua negara, Dr Mohd Zaimi meramalkan Malaysia dan Indonesia akan menerima kesan limpahan ekonomi yang besar.

“Johor akan menerima kebanjiran industri hiliran berasaskan minyak, gas, arang batu serta batu granit memandangkan Riau merupakan antara negeri pengeluar terbesar komoditi-komoditi terbabit di Indonesia,” katanya, sambil menambah Johor akan memperoleh kemudahan mendapatkan sumber tenaga kerja.

Beliau berkata kajiannya menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara akan melonjak beberapa peratus berikutan aktiviti ekonomi yang dijana hasil kewujudan JOKARI Link.

Menurut Dr Mohd Zaimi, beliau telah ke Tanjung Balai, Karimun bertemu kepimpinan Kepulauan Riau dan Ketua Pengarah Departemen Transportasi, Indonesia yang menyambut baik pembinaan JOKARI Link itu.

Beliau juga akan ke Jakarta Ogos ini untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pemerintah pusat, selain membentangkan cadangan projek itu kepada kerajaan negeri Johor.

Cadangan pembinaan JOKARI Link juga akan dikemukakan kepada Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri, kata Dr Mohd Zaimi.

Katanya pembinaan JOKARI Link jika mendapat restu kedua-dua negara akan mengikut model dan teknologi pembinaan Jambatan Oresund yang menghubungkan Copenhagen, Denmark dengan Malmo, Sweden.

Jambatan Oresund, kata Profesor di Fakulti Kejuruteraan Sivil, UTM itu, turut menggabungkan pembinaan jambatan dan terowong dasar laut.

“JOKARI Link perlu memiliki terowong dasar laut kerana kita tidak mahu mengganggu perjalanan kira-kira 50,000 pelbagai jenis kapal yang berulang-alik menggunakan Selat Melaka setiap tahun,” katanya.

Dr Mohd Zaimi juga mendedahkan, dua syarikat kejuruteraan antarabangsa dari Korea Selatan dan Perancis telah berhubung dengannya baru-baru ini menyatakan minat untuk terlibat sama dalam pembinaan JOKARI Link.

Syarikat kejuruteraan dari Korea Selatan itu, katanya, bertanggungjawab membina Busan-Geogje Fixed Link yang juga menggabungkan pembinaan jambatan dan terowong dasar laut.

Katanya kedua-dua syarikat itu memiliki teknologi ‘Immersed Tunnel’ yang dicadangkan untuk digunakan di JOKARI Link, berikutan kos pembinaannya yang lebih murah berbanding ‘Boring Tunnel.’ — Bernama


Wednesday, April 20, 2022

Projek Torwong & Jambatan M'sia-Indo, Johor-Riau bakal lingkupkan S'pura?

Komen Rakyat dalam blog ini..

1 comments:

Anonymous said...

Projek Torwong dan Jambatan Malaysia Indonesia Johor Riau bakal melingkupkan pelabuhan Singapura.

Rancangan sedang dibuat untuk menghubungkan Riau di Sumatera, Indonesia, dengan Kukup di Pontian, Johor, melalui satu terowong bawah laut sepanjang 17.5 kilometer (km).

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kabupaten Pelalawan di Wilayah Riau sedang menjalankan kajian kemungkinan mengenai projek bernilai berbilion ringgit itu.

https://youtu.be/SPEeGqukxtw

Torwong Riau Johor bakal melingkupkan ekonomi Singapura. Bakal dikenali sebagai Johor-Riau Link, terowong itu akan menyambungkan Pulau Karimun di Riau dengan Kukup di Pontian, dekat terminal feri yang ada sekarang di daerah Pontian.

"Projek itu lebih berkesan kos dan berdaya maju dengan kos sekitar RM15 bilion ($5.8 bilion) berbanding dengan jambatan Dumai-Melaka yang dianggarkan menelan RM44.3 bilion," kata dekan UTM Construction Research Alliance, Profesor Dr Muhd Zaimi Abd Majid.

https://youtu.be/EtKyLnCZbxg

Majlis dihadiri wartawan pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara universiti terseut dengan Kabupaten Pelalawan, yang diwakili ketua daerahnya, Encik Muhammad Harris.

Encik Muhammad berkata, selain terowong 17.5km itu, Johor-Riau Link juga termasuk beberapa jambatan yang akan menghubungkan pulau di perairan Riau ke Pulau Karimun dan bersambung ke terowong laut itu

Good bye Singapura. Dengan Pelabuhan Baru di Riau serta Pelabuhan Pasir Gudang dan infrastructure baik ke Pelabuhan Kuantan memendekkan masa penghantaran ke China berbanding Pelabuhan di Singapura.

https://youtu.be/lKDvaCRzVx0

Segerakan Jambatan dan Torwong Johor Riau. Cadangan pembinaan Jambatan dan Terowong dari Kukup, Pontian ke Kepulauan Riau (JOKARI) yang diutarakan pengkaji dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada awal tahun 2014 mendapat petanda positif.

Projek ini sudah pun mendapat minat pelabur. Projek kos RM16 bilion ini mendapat sokongan daripada kerajaan Malaysia dan Indonesia.

Projek ini melibatkan pembinaan sebuah jambatan lima kilometer dari Kukup, Pontian ke sebuah pulau buatan.

Ia kemudian disambung oleh terowong bawah laut sepanjang 17.5 kilometer menghubungkan Pulau Karimun, Indonesia.

Jambatan lain juga bakal dibina bagi menyambungkan Pulau Karimun ke pulau-pulau di Riau.

https://youtu.be/wV5UinSMuJs

Nama singkatan projek ini JOKARI hampir sama bunyi dengan nama Presiden Indonesia JOKOWI.

Sektor swasta yang boleh laksanakan projek ini. Salah satu projek 1MDB melaksanakan Projek Jambatan Terowong JOKARI tetapi di sabotaj oleh Tun dan kerajaan PH. Akhirnya Pulau Batu Putih milik anak Lee Kwan Yew dan projek ini ditinggalkan

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails