Saturday, April 30, 2022

Bagaimana negara dapat barakah? Jangan undang laknat..

 

1. Negara dapat barakah, rahmat apabila terpandu dengan hukum

KUALA LUMPUR: Kunci bagi sesebuah negara mendapat barakah dan rahmat daripada Allah SWT apabila negara dan masyarakat terpandu dengan bimbingan hukum, kata Senator Datuk Idris Ahmad. 

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, Imam al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulum al-Din, mengatakan bahawa institusi Islam tertegak berasaskan ahl al-‘ilm wa al-fikr iaitu ulama, sementara ahl al-siyasah wa al-sultah sebagai penguasa atau pemimpin negara.

Justeru, katanya ulama perlu bertindak sebagai penasihat kepada kepemimpinan negara.

Tambanya, beliau amat berbesar hati dapat bertemu dan menjalin ukhuwah bersama barisan pengurusan bersama ahli-ahli jawatankuasa di bawah Pejabat Mufti termasuk warga kerja Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang menjadi sebahagian tulang belakang Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di dalam Majlis Amanat dan Program Diskusi Ilmiah anjuran Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang diadakan di Hotel Movenpick Tabung Haji, Sepang, petang semalam

“Alhamdulillah, sehingga kini dalam konteks pentadbiran Islam khususnya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), urusan kefatwaan dan hukum hakam, pastinya saya akan merujuk kepada setiap keputusan Mufti Wilayah Persekutuan,” ujarnya menerusi catatan di laman Facebook beliau, malam tadi.

Beliau berkata, thiqah yang sepenuhnya kepada sahibus samahah dan ashabul fadhilah untuk berbahas secara mendalam untuk mencapai satu keputusan terbaik dalam membimbing kerajaan dan masyarakat.

Tambahnya, amat penting bagi seluruh kakitangan di Pejabat Mufti Wilayah untuk cakna dan pantas memberikan pandangan dalam apa-apa kekeliruan yang melibatkan kepentingan awam.

Kata beliau lagi, laman media sosial termasuklah portal rasmi Pejabat Mufti Wilayah perlu menjadi medium penerangan buat ummah seluruhnya.

Sehubungan itu, beliau memuji tindakan pantas Pejabat Mufti Wilayah dan agensi-agensi lain pantas memberikan respons dan pencerahan terhadap isu-isu viral yang timbul.

“Harapan saya agar Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan terus cemerlang dan berjaya dalam merealisasikan visi untuk menjadi peneraju dalam pengurusan fatwa bertaraf dunia yang efisien, profesional dan diyakini menjelang tahun 2025, insya-Allah,” katanya lagi. HARAKAHDAILY 26/4/2022 

Lori membawa muatan kertas gulung dipercayai hilang kawalan lalu merempuh 11 kereta di persimpangan lampu isyarat di Jalan Persiaran, Bandar Baru Nilai, petang tadi. Foto ihsan polis. Begitu juga manusia, individu, masyarakat, negara akan dapat barakah dan tidak hilang kawalan, apabila terpadu dengan hukum Allah SWT dalam kehidupan.

2. 'Jangan undang laknat Rasul, kemurkaan Allah' 

KUALA LUMPUR: Dalam keghairahan meraikan sambutan hari raya, umat Islam diingatkan supaya tidak mencemarinya dengan perkara maksiat dan mungkar.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib Masjid Negara hari ini, mengingatkan umat Islam untuk tidak menormalisasikan perbuatan yang haram.

"Jangan normalisasikan perbuatan yang haram. Haram tetap haram! Paling ditakutkan ialah mengundang laknat dari Rasulullah. Baru-baru ini, tular video klip lagu raya yang memaparkan beberapa lelaki yang bertindak menyerupai wanita.

"Terus-terang dikatakan bahawa tindakan ini bercanggah dengan nilai Islam dan hakikat Aidilfitri itu sendiri. Cukup, cukuplah membuat publisiti murahan.

"Itu bukan akhlak Islam, itu bukan ajaran Islam," demikian menurut khutbah yang disampaikan itu.

Justeru, umat Islam yang melakukan kesilapan diminta supaya bertaubat.

"Usah dicemari keberkatan Ramadan dan kesucian Aidilfitri dengan perkara maksiat yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT.

"Sama-sama kita menegur dan mengambil iktibar mudah-mudahan kita semua dipelihara Allah," katanya.

Menerusi khutbah sama, khatib mengingatkan umat Islam supaya segera membayar zakat fitrah pada Ramadan ini.

"Usahlah bertangguh kerana dikhuatiri terlupa untuk menunaikannya. Ambillah peluang pada hari ini untuk pergi ke kaunter-kaunter zakat fitrah," katanya.

Bagi warga kota yang akan pulang ke kampung, khatib mengingatkan masing-masing supaya menjaga keselamatan sepanjang berada di atas jalan raya, memandu dengan berhemah dan cermat serta bersabar supaya semua selamat sepanjang perjalanan nanti.

Khatib juga mengingatkan, umat Islam melakukan amalan yang terbaik dalam bulan Ramadan dan sentiasa bersyukurlah kepada Allah yang memanjangkan usia kita sehingga di fasa terakhir Ramadan tahun ini.

"Berdoalah agar kita bertemu lagi dengan Ramadan dan mohonlah keampunan daripada Allah SWT sebelum berakhirnya Ramadan dan bertaubatlah atas segala dosa yang pernah kita lakukan," katanya. (BH)

2 comments:

Anonymous said...

Pi mai habaq kat datok alip, kaya bukan tiket untuk jadi stamproll. Mai langgaq undang undang syariat. Islam tak larang seni, tapi seni yang ikut syariat iblis setan itu yang dilarang. Gedik gedik buat dalam bilik, bukan untuk ditatap umum.

Anonymous said...

Mai habaq kat alip. Orang bersyukur pun Tuhan bagi kaya, orang tak bersyukur pun Tuhan bagi kaya. Orang mukmin pun Tuhan bagi kaya, orang musyrik pun Tuhan bagi kaya. Cuma kaya orang bersyukur dan kaya orang mukmin tak sama dengan kaya orang tak bersyukur dan kaya orang musyrik. So jangan biadab bila kata seni itu bebas. Bebas itu ada batas.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails