Thursday, October 15, 2020

250,000 jemaah dibenarkan tunai umrah fasa kedua

 Jemaah umrah melakukan tawaf di sekeliling Kaabah di Kompleks Masjidil Haram, Makkah selepas pihak berkuasa membenarkan semula pelaksanaan ibadah berkenaan dengan jumlah jemaah yang terhad. FOTO AFP

Jemaah umrah melakukan tawaf di sekeliling Kaabah di Kompleks Masjidil Haram, Makkah selepas pihak berkuasa membenarkan semula pelaksanaan ibadah berkenaan dengan jumlah jemaah yang terhad. FOTO AFP

RIYADH: Arab Saudi akan membenarkan 250,000 jemaah domestik menunaikan umrah pada fasa kedua kebenaran umrah dan ziarah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, mulai Ahad ini.

Jemaah juga dilaporkan akan dibenarkan beribadah di dalam kawasan Raudah dan kawasan masjid lama di Masjid Nabawi di Madinah mulai 18 Oktober.

Ahli Jawatankuasa Kebangsaan Haji dan Umrah, Hani Al-Omairi, berkata lebih 600,000 jemaah akan diberi permit untuk menunaikan solat di Masjidil Haram bersama dengan lebih 250,000 jemaah umrah ketika fasa kedua.

Arab Saudi mensyaratkan jemaah yang hendak mendapatkan kebenaran menunaikan umrah, mengunjungi Masjidil Haram dan Raudah perlu mendaftar melalui Aplikasi Eatmarna.

Sementara itu, jemaah asing dilaporkan hanya akan dibenarkan menunaikan umrah dan mengunjungi Raudah mulai 1 November.

Bagaimanapun, Al-Omairi, yang juga anggota Persatuan Perjalanan dan Pelancongan Arab Saudi, berkata, pihaknya masih belum jelas berapa negara akan dibenarkan menghantar jemaah umrah selepas seluruh dunia dilanda COVID-19.

"Semua berharap kerajaan akan mengumumkan perincian negara yang diundang untuk mengerjakan umrah mulai fasa ketiga pelaksanaan semula perkhidmatan umrah," katanya.

Al-Omairi menyatakan mekanisme turut menetapkan bas akan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti tidak lebih dari 40 peratus penumpang.

"Hanya dua jemaah umrah akan dibenarkan tinggal dalam satu bilik bagi mematuhi langkah membendung penularan COVID-19.

Selepas lebih enam bulan sekatan ibadat umrah dikuatkuasakan berikutan penularan COVID-19, Masjidil Haram kembali dibuka dengan ketibaan kumpulan jemaah pertama pada 4 Oktober lalu.

Menurut rancangan strategik dilaksanakan kerajaan Arab Saudi, fasa pertama kebenaran ibadah umrah membabitkan tidak lebih 6,000 orang setiap hari dan setiap kumpulan diperuntukkan tiga jam untuk menyelesaikan ibadah masing-masing.

Sebahagian daripada langkah ini termasuk melakukan operasi nyah kuman sebanyak 10 kali sehari di Masjidil Haram.

Jemaah juga diwajibkan melakukan sanitasi ketika keluar dan masuk kompleks masjid manakala air zam-zam diagihkan kepada jemaah dalam bentuk botol dan jemaah dilarang mendekati Kaabah dan Hajar Aswad. - AGENSI

Sambungan dari..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails