Laporan polis tersebut dibuat kira-kira pukul 2 petang oleh Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) dan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini.
Presiden MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, perbuatan penganjur perarakan itu melanggar ajaran agama Islam di negara ini.
"Mereka mengambil kesempatan menggunakan Hari Wanita Sedunia itu sebagai platform untuk memperjuangkan golongan LGBT dengan melaungkan 'hidup LGBT' serta mengibarkan bendera pelangi.
"Mereka ini sebenarnya telah memperdayakan pihak polis apabila kononnya mahu memperjuangkan hak-hak wanita tapi dalam masa yang sama mereka selitkan agenda jahat perjuangan golongan LGBT," katanya, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi IRIMM, Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, pihak berkenaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap golongan ini.
"Kami gesa Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap penganjur serta mereka yang menyertai tersebut.
"Mereka sudah mencemarkan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini apabila menuntut hak yang tidak wujud sama sekali untuk golongan yang mereka sokong itu," ujarnya.
"Dalam perarakan Women's March kelmarin, penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dirakam mengambil kesempatan melaungkan slogan seperti 'Hidup LGBT' dan mengibarkan bendera pelangi yang menandakan sokongan terhadap golongan itu.
"Tindakan itu mengundang rasa marah dalam kalangan masyarakat kerana didakwa semakin melampau dan mencabar undang-undang serta kesabaran umat Islam kerana menyokong pergerakan LGBT. - UTUSAN ONLINE