Penyerahan kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu dilakukan sebelum baginda merasmikan Masjid Jamek Chaah di sini tengah hari tadi.
Memorandum diserahkan Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Ustaz Juwahir Amin: Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid; Presiden Majlis Belia Negeri Johor, Md. Salleheen Mohamad dan Pengerusi Belia 4B Johor, Mohd. Hafiz Jalalludin.
Seramai 200 anak muda turut hadir semasa penyerahan memorandum tersebut sambil melaungkan takbir AllahuAkbar dan daulat tuanku.
Mereka mewakili Pemuda UMNO dan Pemuda Pas selain NGO seperti Gerakan Setia Johor, Majlis Belia Negeri Johor, Pesaka dan Majlis Belia Daerah-daerah.
Memorandum itu menyentuh latar belakang Perjanjian Statut Rom serta sokongan seluruh anak muda dalam mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu amnya dan Sultan Johor Khususnya.
Terdahulu Sultan Ibrahim merasmikan Masjid Jamek Chaah dan baginda diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail sebelum menunaikan solat Jumaat bersama-sama lebih 1,000 jemaah.
Baginda dan Tunku Ismail turut menunaikan solat hajat bagi mendoakan supaya krisis pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang dapat diatasi segera dan mangsa-mangsa kembali pulih.
Yang turut hadir Yang Dipertua Majlis Jumaah DiRaja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani. - UTUSAN ONLINE