Pada masa ini Kedah dan Perak diterajui oleh PH dengan majoriti kecil iaitu masing-masing empat dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri. - Gambar fail
KOTA BHARU: Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berpandangan tidak wajar untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri melalui "jalan belakang" dan Pakatan Harapan (PH) di negeri berkenaan harus dibiarkan memerintah sehingga tamat penggal.
"Kalau tanya saya secara peribadi biarlah berjalan apa yang ada hari ini. Biar kekal kerajaan Pakatan Harapan (di Perak dan Kedah)... biar mereka memerintah sehingga habis penggal. Bukan cara kita ambil sesebuah kerajaan di tengah jalan," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas cadangan kerajaan penyatuan ummah (UG) oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan susulan kerjasama di antara PAS dan UMNO.
Pada masa ini Kedah dan Perak diterajui oleh PH dengan majoriti kecil iaitu masing-masing empat dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri.
Mengulas kerjasama PAS-UMNO, Mohd Amar menyifatkan hubungan itu sebagai peringkat "orang muda baru bermain mata".
"Kalau kita nak mengadakan kerjasama politik dalam bentuk tahaluf kita memerlukan persetujuan daripada muktamar (PAS), tapi sekarang belum sampai ke situ lagi seperti mana yang dilakukan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.
"Mesyuarat (jawatankuasa bersama) baru-baru ini, kita baru meneroka ruang-ruang ada keperluan-keperluan macam mana (dalam usaha politik). Setakat ini tertumpu kepada pilihan raya kecil Rantau, itu fokus kita sekarang ini," katanya.
Ditanya mengenai dakwaan Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerjasama antara PAS dan UMNO akan meminggirkan masyarakat bukan Melayu, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata perkara tersebut tidak akan berlaku. (AA)
No comments:
Post a Comment