IBTIHAJ MUHAMMAD mengkritik tindakan kerajaan Perancis yang melarang penjualan hijab di kedai-kedai sukan di negara itu.
SUKAN
“Jika ada yang melihat hijab sebagai masalah, mereka tidak layak berada dalam dunia sukan kerana sukan adalah untuk semua tanpa mengira bangsa, jantina, kepercayaan, warna kulit dan sebagainya,”-Ibtihaj Muhammad
PARIS 13 Mac - Atlet lawan pedang Amerika Syarikat, Ibtihaj Muhammad yang juga duta produk jenama sukan Nike mengkritik sikap kerajaan Perancis tidak membenarkan penjualan hijab.
Ibtihaj menghadiri majlis pelancaran barangan sukan jenama Amerika Syarikat (AS) itu di Perancis yang merupakan tuan rumah bagi kejohanan Piala Dunia Bola Sepak Wanita.
Februari lalu, Nike terlibat dengan kontroversi apabila Decathlon tidak mahu menjual produk hijab keluaran jenama AS itu di kedai-kedainya di seluruh Perancis.
“Saya akan sentiasa memakai hijab Nike pro saya setiap hari.
“Agak menyedihkan apabila Perancis tidak mahu terlibat dengan promosi produk ini. Menghalang sesebuah syarikat daripada menjual produk hijab sukan adalah tindakan memalukan.
“Saya rasa tindakan ini lebih memberi kesan buruk kepada negara itu sendiri,” kata Ibtihaj menerusi laman Twitter miliknya sebelum berangkat ke Paris.
Jurucakap kepada Presiden Emmanuel Macron, Aurore Berge berkata, pemakaian hijab di dalam sukan adalah bertentangan dengan nilai-nilai warga Perancis.
Lydia Guirous dari parti Republikan pula berkata, pemakaian hijab melambangkan penundukkan seorang wanita.
Ibtihaj yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio nyata tidak bersetuju dengan kenyataan itu.
“Awak bukan seorang feminis jika awak percaya pemakaian hijab bukan satu pilihan.
“Sekiranya awak percaya kepada kebebasan individu untuk memilih, awak perlu memberi sokongan kepada wanita berhijab. Ia bukan pilihan awak tetapi ia pilihan kami semua.
“Jika ada yang melihat hijab sebagai masalah, mereka tidak layak berada dalam dunia sukan kerana sukan adalah untuk semua tanpa mengira bangsa, jantina, kepercayaan, warna kulit dan sebagainya,” katanya.
Di Perancis hanya Menteri Sukan, Roxana Maracineanu menyokong penjualan hijab di negara itu.-AGENSI
No comments:
Post a Comment