Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kenyataan tersebut dipercayai ingin menakutkan rakyat kerana pemimpin-pemimpin berkenaan bimbang dengan kerjasama UMNO dan Pas.
“Pas sudah terbukti sudah memerintah di Kelantan, Terengganu dan Kedah dan kita tidak dengar orang bukan Melayu atau bukan Islam dipinggirkan atau tertekan di negeri-negeri ini. 
“Jadi tak timbul isu umat Islam atau bukan Islam akan dipinggirkan dan diketepikan. Ini semua untuk menakutkan rakyat kerana mereka bimbang kerjsama UMNO dan Pas ini jika diteruskan mampu menumbangkan kerajaan PH,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Baru-baru ini, Nga Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak mendakwa kerjasama UMNO dengan Pas akan memecah-belahkan rakyat dan menyebabkan negara menjadi seperti Afghanistan yang diperintah oleh Taliban jika dua parti itu berjaya membentuk kerajaan.  - UTUSAN ONLINE.