Seramai 260 mangsa terbaharu setakat ini melibatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort dan orang awam.
Mereka mendapat rawatan awal di Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih di sini sejak pukul 10 pagi dan bagi kes yang kritikal dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.
Tinjauan Utusan Malaysia di dewan itu mendapati situasi cemas, panik serta kelam-kabut dan kira-kira 100 anggota bomba, polis, petugas perubatan dan guru memberi bantuan kecemasan.
Mangsa sebelum itu pengsan, muntah serta pening kepala sekali gus menjadikan bilangan terkini mangsa pencemaran toksik sejak Khamis lalu berjumlah 469 orang keseluruhannya.
Seorang ibu kepada pelajar yang pengsan, Zuraidah Sibok, 45, berkata, anaknya merupakan pelajar pertama dari sekolah tersebut yang dihantar untuk menerima rawatan kecemasan.
“Rumah saya berdekatan sekolah dan saya sejak pagi tadi tidak sedap hati kerana bunyi ambulans kerap lalu depan rumah menuju ke sekolah.
“Apabila suami saya ke sekolah, dimaklumkan anak saya, Nurulmaizura Azimah Mansor, 14, dihantar ke dewan serbaguna itu untuk rawatan kecemasan,” katanya ketika ditemui pembe­rita di dewan tersebut hari ini.
Seorang lagi ibu mangsa, Noratikah Daud, 47, berkata, anaknya, Affza Balqus Ahmad Sahrel, 14, turut pengsan semasa di sekolah.
“Apabila suami saya ke sekolah anak saya sudah tidak ada di sana, kemudian apabila ke dewan serbaguna juga tidak ada, saya tidak tahu di mana anak saya berada atau di mana dia dirawat,” katanya. (Utusan)