Tuesday, March 12, 2019

'Kita Akan Panggil Guan Eng Bila Tiba Masa' - KPN



POLIS sudah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengenai kerjasama UMNO dan PAS yang didakwa berunsur hasutan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan sudah bermula sejak minggu lalu sebaik polis menerima laporan pertama mengenai kes berkenaan.
“Kita menerima 58 laporan polis di seluruh negara berhubung kes itu dan ia akan disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Pingat Jasa Pahlawan Negara di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Selatan di Nibong Tebal, hari ini.

Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan merujuk kepada kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.
Ditanya sama ada Guan Eng akan dipanggil bagi membantu siasatan, Mohamad Fuzi berkata, polis akan merakam keterangan Ahli Parlimen Bagan itu apabila tiba masanya.
“Sekiranya perlu, kita akan panggil beliau (Guan Eng) untuk ambil keterangan bila tiba masanya.
“Berhubung dakwaan kita lambat ambil tindakan, ia tidak tepat. Kita terus buka kertas siasatan selepas terima laporan polis,” katanya.
Minggu lalu, sebuah portal berita melaporkan kenyataan Guan Eng yang menyifatkan kerjasama antara UMNO dan PAS sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ kepada masyarakat bukan Melayu.
Kenyataan itu bagaimanapun ditukar dengan penukaran frasa ‘pengisytiharan perang’ yang diubah kepada ‘menyasarkan’.
Sementara itu, Mohamd Fuzi berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan peguam kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, yang mendakwa anak guamnya didera secara fizikal dan seksual ketika dalam tahanan polis.
“Saya tidak dapat lagi maklumat itu kerana belum dimaklumkan tetapi kalau ada dakwaan demikian kita akan jalankan siasatan dan saya akan berhubung dengan Ketua Polis Kuala Lumpur,” katanya.
Peguam, Hisham Teh Pok Teik dalam kenyataannya kepada media selepas prosiding sebutan pertama hari ini mendakwa tertuduh ketiga itu didera secara fizikal dan seksual di Asrama Sentul Sentosa. (HMetro)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Insya Allah, akan terbukti kedaulatan undang-undang di negara yang tercinta ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails